| Universiti Putra Malaysia

UPM perlu jadi ‘juara sebenar’ bidang pertanian

 

 

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 15 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu terus mempertingkat dan memperkukuhkan lagi kedudukan untuk menjadi ‘juara sebenar’ (real champion) bidang pertanian, kata Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.

Beliau berkata, fakulti-fakulti yang terbabit dalam bidang pertanian, khususnya Fakulti Pertanian mesti mencetus dan mencambahkan idea baharu bagi membolehkan sektor pertanian negara menjadi peneraju dunia dalam sektor pertanian.

Katanya, semua pakar dan bijak pandai dalam bidang pertanian di UPM yang merupakan institusi peneraju pertanian mesti sama-sama berganding bahu berusaha ke arah itu.

“Harapan masyarakat umum terhadap UPM adalah berkaitan pertanian …mungkin kerana nama universiti ini sebelum ini ialah Universiti Pertanian Malaysia,” katanya ketika merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen ke-43 UPM di Bukit Ekspo UPM di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, ia bukan bermakna fakulti lain di UPM tidak penting kerana fakulti-fakulti lain turut sama menjulang kejayaan universiti 

Sehubungan itu, katanya, strategi baharu perlu dirangka dan dilaksanakan dalam bidang pertanian bagi memastikan pencapaian UPM terus bertambah baik dan terus cemerlang bagi mencapai kejayaan sebenar yang dihasratkan.

Katanya, beliau mahu melihat UPM dapat meningkatkan kedudukan untuk menjadi universiti nombor satu di negara ini dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, perkara yang penting ialah terus berkerja keras kerana pastinya pengurusan sesebuah universiti akan menjadi lebih sukar pada tahun-tahun mendatang.

“Begitupun kita mesti terus berusaha untuk menggapai pencapaian lebih baik meskipun dalam keadaan persekitaran dan suasana yang lebih sukar serta mencabar,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen yang diadakan dari 15 hingga 20 November itu adalah mengenai aspek agro-makanan yang merangkumi pertanian, hortikultur, ternakan dan akuakultur serta mempamerkan kemajuan dan pencapaian pengajaran serta penyelidikan berasaskan pertanian.

Katanya, ia juga menampilkan produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi penyelidik UPM dan strategi pemasarannya. - UPM

 

  

 

 

 

WXFDQA~