| Universiti Putra Malaysia

Pasangan suami isteri melakar memori manis bergraduat bersama

Oleh: Faiznur Jasmin Faiz
Bacelor Sains Pembangunan Manusia, FEM

SERDANG, 12 JAN – Pasangan suami isteri melakar memori manis bersama apabila bergraduat dalam Bacelor Sains Pertanian dari Fakulti Pertanian pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Muhammad Hakim Paimin, 25, berkata isteri beliau, Siti Mariam Khairuddin, 26 yang telah mendirikan rumahtangga pada Mei tahun lalu turut berjaya menamatkan pengajian dalam program pengajian yang sama.

Pasangan suami isteri itu mula berkenalan di Fakulti Pertanian.

Pada asalnya, Siti Mariam sepatutnya menghabiskan pengajian beliau pada tahun 2019 namun disebabkan kecuaian mengira mata kredit untuk bergraduat, beliau terpaksa memanjangkan pengajiannya untuk satu semester bagi mencukupkan kredit.

Muhammad Hakim berkata walaupun beliau sibuk menceburkan diri dalam bidang kepimpinan seperti Majlis Tertinggi Mahasiswa kolej, tidak menghalang beliau untuk terus berusaha dengan sebaiknya dalam bidang akademiknya.

“Kami suami isteri juga aktif dalam persatuan-persatuan universiti seperti Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan antara cabaran buat mereka berdua adalah untuk membahagikan masa yang sebaiknya untuk akademik dan persatuan yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata pelajar UPM perlu mengambil peluang bukan sahaja belajar malah menjadi aktif bergaul dengan orang ramai sebagai persediaan selepas tamat pengajian dan sentiasa positif dengan apa jua dugaan yang berlaku semasa pengajian. - UPM

SXEdGA3~