| Universiti Putra Malaysia

Jangan puashati dengan pencapaian UPM: Pengerusi LPU

Oleh Azman Zakaria

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 4 April - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Putra Malaysia (UPM), Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail mahu warga UPM terus berusaha melahirkan graduan berkaliber, berintegriti dan berkebolehpasaran (employability gradute) bagi memenuhi kehendak industri dan sektor pertanian yang sentiasa berubah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan warga UPM supaya jangan sesekali berpuashati dengan pencapaian yang dilalui sebaliknya terus menyasarkan pencapaian yang lebih tinggi.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan yang ada kerana pendidikan dan pertanian begitu dinamik dan berubah pada bila-bila masa.

“Kita perlu melihat kembali mengapa kita berjaya dahulu dan di masa yang sama meneliti sebarang kesilapan untuk mengorak langkah (fast forward) untuk masa depan,” katanya pada Sesi Perkongsian Bersama Warga UPM di Panggung Percubaan PKKSSAAS UPM di sini.

Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, ahli-ahli akdemik serta para pegawai dan kakitangan UPM.

Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan yang juga Alumni UPM Kelas 1972 berkata UPM adalah kilang untuk melahirkan graduan holistik.

Beliau juga berkata, di dalam sesebuah organisasi, tadbir urus baik (good governance) adalah penting dan mesti ada ‘çheck and balance’ (semak dan imbang) bagi mencapai kejayaan.

“Jika ada yang tak elok…tegur-tegurlah. Lebih baik memperbetulkan kesilapan itu di peringkat awal. Jika perkara salah tidak ditegur, maka kita dianggap seperti juga melakukan kesilapan itu,” katanya.

Sebagai Pengerusi LPU, beliau tidak berniat untuk mencampuri hal pengurusan atau mana-mana persatuan kecuali jika perlu untuk membuat teguran kerana jika tidak, UPM yang akan rugi.

Beliau juga berkata, meskipun politik dalaman (internal politic) dalam sesebuah organisasi sukar ditolak sepenuhnya, namun ia mesti dikurangkan kerana objektif utama UPM adalah memberi pendidikan kepada pelajar.

Katanya, semua jabatan mesti bekerjasama dalam usaha menjana pendapatan serta meninjau peluang di luar UPM, dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada kerajaan.

Sementara itu sambil menyifatkan pelajar luar negara sebagai tetamu, beliau juga berkata, UPM perlu ‘menawan’ mereka kerana ada antara mereka apabila kembali ke tanah air masing-masing, akan menjadi menteri, pegawai dan kapten industri. 

“Mereka akan menjadi ‘walking advertisement’ (iklan bergerak) dan duta yang akan bercakap mengenai UPM,” katanya.

Katanya, beliau amat mencintai UPM dan melalui pelbagai pengalaman sejak mula menunut di UPM yang ketika itu adalah Kolej Pertanian.

Katanya, walaupun anak raja, beliau melalui pengalaman seperti juga pelajar lain seperti membasuh baju sendiri ketika di kolej dan ada ketikanya dimarahi pelajar senior.

“Tempat ini membentuk saya sebagai seorang manusia. Saya amat terhutang budi kepada UPM dan rakan-rakan,” katanya. - UPM    

SXFETAq~