| Universiti Putra Malaysia

Kelvin, etnik Penan pertama Kampung Long Meraan dapat diploma

Oleh: Azman Zakaria  dan Cheng Kai Wah

 

SERDANG, 27 Okt: Kelvin Niyok, satu-satunya etnik Penan dari Kampung Long Meraan, Ulu Baram, Sarawak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, hari ini berjaya memperolehi diploma selepas melalui pelbagai kepayahan terutamanya ketika sekolah rendah dan menengah.

 

Ketika sekolah rendah, beliau terpaksa berjalan kaki antara empat dan lima jam dari rumah untuk ke Sekolah Kebangsaan Long Seridan, sambal ditemani bapanya Neyok Baweng.

 

Kelvin tinggal di asrama sekolah itu dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

 

Semasa bersekolah menengah di SMK Marudi pula, beliau perlu menaiki kereta pacuan empat roda dari rumah selama antara empat dan lima jam untuk ke Long Lama, sebelum menaiki bot ekpres selama antara tiga dan empat jam lagi untuk ke sekolah itu. Beliau juga tinggal di asrama ketika sekolah menengah.

 

Kelvin, 21, memperoleh Diploma Kejuruteraan Pertanian pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42, hari ini.

 

Katanya, beliau berharap kejayaannya itu boleh menjadi contoh kepada masyarakat etnik Penan untuk berjaya dalam pendidikan.

 

“Saya mahu menjadi perintis dan pembuka jalan kerana selama ini etnik Penan di kampung saya tiada yang belajar sehingga ke universiti. Saya nak tunjukkan kepada generasi muda bahawa etnik Penan juga boleh berjaya.

 

“Ilmu pengetahuan mampu mengubah nasib etnik Penan. Inilah pegangan saya sepanjang pengajian,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Beliau berkata, latar belakang keluarganya yang hidup susah, mengerakkan motivasinya untuk berjaya bagi membantu keluarga. Bapanya adalah petani, manakala ibunya Roselind Ali suri rumah.

 

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim yang menaja wang saku beliau sejak tingkatan dua, serta bantuan yuran pengajian di universiti oleh seorang veterinar dari Miri yang juga Alumni UPM,  Dr. Ling Tung King. - UPM

WXEdAAM~