| Universiti Putra Malaysia

Jangan belajar kerana peperiksaan semata-mata, tapi belajar demi ilmu

Oleh: Faruq Irsyad Razali
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia 

SERDANG, 11 Jan – “Saya rasa yang penting apabila kita masuk ke alam master dan ‘doctorate’ ini adalah keseronokan belajar itu sendiri. Jangan belajar just for the sake of the exam, belajar demi ilmu itu sendiri”.

Demikian kata-kata Dr. Mohamad Fadli Khairie, 36, yang menerima skrol Doctor of Public Health pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, hari ini.

Mengenai tips belajar, anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu menyatakan beliau sangat seronok belajar mengenai perkara baru, dan ia memudahkan beliau untuk menerima ilmu.

Dr. Mohamad Fadli graduan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang kini bertugas sebagai pakar perubatan awam di Kementerian Kesihatan, berkata antara cabaran besar yang dihadapinya dalam menyiapkan pengajian ialah komitmen membahagikan masa di antara keluarga, pelajaran dan pekerjaan.

“Kenangan manis yang saya lalui sepanjang pengajian di UPM ialah ketika saya berjaya menjawab soalan dengan baik semasa Professional Exam. Pihak panel memberi respons, it’s a good answer. Bagi saya ia satu penghargaan kerana mendapat ‘recognition’ daripada pensyarah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar supaya “Keep on having fun, just enjoy apa yang berlaku sepanjang perjalanan sebagai seorang mahasiswa. Trust the process and the final goal”.

Mengenai perancangan masa depannya, Dr. Mohamad Fadli berkata, beliau ingin mendalami bidang data-data kesihatan, dan percaya negara memerlukan penganalisis yang pakar dalam data kesihatan.

“Negara kita sudah semakin beransur pulih daripada pandemik COVID-19, namun kita tidak boleh leka kerana adanya varian baru. Kita perlu berhati-hati dan bersiap-siaga,” katanya. - UPM

SXEcCA1~