Zakaria Zarkasi Juara TRADEC‘15 Excellent Award | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Zakaria Zarkasi juara TRADEC‘15 Excellent Award

Zakaria Zarkasi juara TRADEC‘15 Excellent Award


Oleh: Yasmin Yusoff
Foto: Norazreen Awang

SERDANG, 1 Feb – Pelajar Bacelor Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (Multimedia), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) Zakaria Zarkasi menjuarai pertandingan Program Cabaran Usahawan Dagang 2015 (Trading Entrepreneurship Challenge 2015) anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM.

Beliau memenangi RM4,500 sumbangan UCTC dan Great Minds Training & Consultancy berserta piala pusingan cabaran keusahawanan dagang (TRADEC), geran perniagaan bernilai RM1,300 bersama sijil penyertaan dan pakej perniagaan ke Guangzhou, China.

Zakaria Zarkasi, 21, dari Tanjung Karang, Selangor telah menubuhkan syarikat Hyper Sport Venture dengan mengusahakan perniagaan roller blade di sekitar Tanjung Karang.

“Saya bermula dengan menggunakan modal sebanyak RM4,400 dari simpanan Tabung Haji ibu saya. Pada mulanya, usaha saya untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan ini  mendapat tentangan dari keluarga tetapi melalui usaha yang bersungguh-sungguh, saya berjaya memperoleh RM30,000 keuntungan sebulan”, katanya.



Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata,TRADEC’15 merupakan penganjuran tahun ketiga yang diperkenalkan oleh UCTC bagi membentuk graduan universiti yang berani untuk menyahut cabaran perniagaan dengan berbekalkan modal yang kecil.

“Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan program cabaran keusahawanan realiti di mana mahasiswa dilibatkan secara langsung dalam modul komprehensif dalam perniagaan dagang serta melahirkan usahawan yang berkebolehupayaan dalam perniagaan dagang di kalangan mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata, keberkesanan program ini dapat dilihat melalui pencapaian TRADEC’14 yang mencatatkan hasil jualan sebanyak RM12,1075.50 dengan keuntungan bersih RM55,570.24, manakala, TRADEC’15 telah meraih jumlah jualan RM248,148.04 dan mencatat keuntungan RM53,390.94 selama tempoh dua bulan cabaran dijalankan.



Seramai 25 peserta menyertai TRADEC’15 untuk menjadi usahawan dagang terdiri daripada pelajar tahun akhir atau semester akhir di UPM dan graduan yang telah tamat pengajian dalam tempoh enam bulan tetapi tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Antara bidang perniagaan yang boleh diceburi oleh peserta ialah telekomunikasi dan peralatan komputer; perkhidmatan professional seperti perundingan; cenderahati; buku dan alat tulis; pakaian, tekstil dan aksesori; kosmetik dan khidmat kecantikan; sukan dan rekreasi; percetakan dan automasi pejabat; restoran, konfeksi dan bakeri; kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar basah; perkhidmatan pelancongan; pengilangan makanan dan bahan industri; perkhidmatan dan bahan industri pertanian, asas tani dan landskap serta pengurusan acara dan pengiklanan – UPM.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511183678