"Wujudkan Rangkaian Kerjasama Saintifik Kukuh Di Kalangan Negara Islam” | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » "Wujudkan rangkaian kerjasama saintifik kukuh di kalangan negara Islam”

"Wujudkan rangkaian kerjasama saintifik kukuh di kalangan negara Islam”


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 19 Dis - Penyelidik di dalam dan luar negara perlu terus menjalin kerjasama erat untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan seluruh manusia, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

“Mereka perlu wewujudkan rangkaian yang kukuh dan sealiran, sekali gus menjadikan proses globalisasi yang kita lalui sekarang, menjadi sesuatu yang lebih positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan “Nanoscience and Nanotechnology Development Forum” dengan kerjasama Mustafa Science and Technology (MSTF) di bawah “Science and Technology Exchange Program (STEP) in Islamic Countries”, di sini. Program itu dianjurkan bersama oleh UPM dan Mustafa Prize Secretariat.

Turut hadir Duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Marzieh Afkhamzadeh; Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPT Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof Dr. Raha Abdul Rahim; Setiausaha agung Majlis Inisiatif Nanoteknologi Iran (INIC) yang juga wakil Mustafa Prize, Prof. Sarkar Saeed; dan Timbalan Naib Canselor UPM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr Mohd Azmi Mohd Lila.  

Lebih 200 peserta dari 11 negara dan kira-kira 30 saintis terkenal dari negara Islam  dalam bidang nanosains dan nanoteknologi termasuk Profesor Omar Yaghi dari  Jordan dan Profesor Jackie Ying dari Singapura yang merupakan pemenang laureates edisi pertama Mustafa Prize tahun lalu, menghadiri program lima hari yang bermula hari ini.

Forum itu membincangkan sains global dan kemunculannya sebagai bahasa sejagat kemananan dan kebajikan, cabaran yang dihadapi negara-negara Islam dalam bidang nanosains dan nanoteknologi, serta kaedah untuk mempertingkatkan kerjasama saintifik di kalangan negara Islam.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata STEP menumpukan kepada “Laureate of the Mustafa Prize”, dengan matlamat untuk menggalak serta memperkembangkan sains dan teknologi serta mengukuhkan lagi kerjasama dengan saintis di kalangan dunia Islam.

 “Kita berharap peserta akan membincangkan strategi bagi menggalakkan lagi kerjasama saintifik, khususnya di kalangan universiti-universiti di negara-negara Islam, dan berharap hasil daripada program ini akan memberi impak kepada penyelidik Malaysia dalam bentuk meningkatkan bilangan artikel penyelidikan berkualiti tinggi dalam jurnal ternama antarabangsa.

“Saya berharap usaha berkongsi hasil penyelidikan tidak terhenti di sini,” katanya.   

Katanya, beliau juga yakin kerjasama antara UPM dan Sekretariat Mustafa Prize dalam menganjurkan program itu akan memberi faedah bukan sahaja kepada saintis dalam bidang nanosains dan nanoteknologi tetapi juga meningkatkan sinergi saintifik di negara-negara Islam.  – UPM


 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157465