| Universiti Putra Malaysia

Wonderspartans Outreach Programme beri fokus kepada alam sekitar

Oleh: Farah Syuhada Rozmi

 

KUANTAN, 18 Jan – Kolej Empat Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan program kesukarelawan Wonderspartans Outreach Programme (WOP) di Balok dan Cherating, dekat sini bertujuan memberi pendedahan serta kesedaran kepada pelajar dan masyarakat mengenai aktiviti sukarelawan yang berfokus kepada alam sekitar.

Pengarah program, Anis Maisarah Sharulnizam berkata, ramai yang masih belum menyedari mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan kesan membuang sampah merata-rata.

“Kita seronok berkelah di pantai dan menikmati keindahan pantai dan laut, tapi kita tinggalkan pelbagai jenis sampah. Perbuatan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab kepada manusia tetapi juga kepada alam dan hidupan laut,” katanya.

Program WOP dimulakan di Natural Village Batik, Balok. Peserta didedahkan kepada industri batik dan berpeluang untuk merasai pengalaman mencanting batik, manakala pada sebelah malam, pelajar menjalankan aktiviti Pujangga Pantai yang memerlukan mereka mengarang dan mempersembahkan puisi atau lagu bertemakan alam sekitar. 

Mereka turut ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuantan untuk melihat proses pendaratan dan pengasingan ikan. 

Pelajar dan komuniti juga menjalankan Program “Clean Beach, Clean Ocean” di Pantai Balok. Program itu mendapat kerjasama dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dan Alam Flora Sdn Bhd. Turut sama dalam aktiviti ini adalah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Balok, Persatuan Silat Pendekar Pahang, Persatuan Nelayan Balok dan Jawatankuasa Kampung Balok. 

Sampah diasingkan mengikut kategori sampah iaitu reuse, recycle, compostable dan solid rubbish dan ditimbang oleh SWCorp. Sampah yang paling banyak didapati adalah jenis sampah solid (padat dan bukan organik) iaitu 89.5% yang susah dan mengambil masa yang sangat lama untuk terurai secara semula jadi.

Seorang peserta, Muhammad Isnorrizal, 22, berkata program itu memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam dan pengasingan jenis sampah dengan betul. 

Di Pantai Cherating pula, pertandingan membina istana pasir berkonsepkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) diadakan. Sampah seperti botol plastik, tin minuman, tali dan juga ranting kayu digunakan untuk membina istana pasir itu. 

Forum bertajuk “Islam dan Alam” diadakan di Masjid Sungai Ular, Balok yang melibatkan peserta WOP dan penduduk sekitar.

Aktiviti perkongsian mengenai penyu sebagai antara spesies hidupan laut terancam, pula diadakan di Pusat Konservasi dan Santuari Penyu, Cherating. Peserta berpeluang melihat anak penyu yang diasingkan mengikut umur iaitu sebulan dan lima hingga enam bulan serta penyu yang telah diawet.

Pegawai pengiring program, Siti Mahsuri Talib berkata program itu diharap dapat membuka minda masyarakat terhadap aktiviti kesukarelawan berkaitan alam sekitar.

“Banyak pengalaman baru yang berharga diperoleh sekali gus mencapai objektif penganjuran program yang menfokuskan kepada kesukarelawanan alam sekitar,” katanya. - UPM

 

SXFETA2~