UPM- Universiti Chulalongkorn Meterai Perjanjian Pertukaran Kakitangan Akademik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM- Universiti Chulalongkorn meterai perjanjian pertukaran kakitangan akademik

UPM- Universiti Chulalongkorn meterai perjanjian pertukaran kakitangan akademik

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 17 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Universiti Chulalongkorn, Thailand bagi tujuan menggalakkan pertukaran kakitangan akademik dan pelajar untuk memantapkan lagi penyelidikan berkaitan bidang Bioteknologi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Samsudin berkata MoA itu merangkumi pertukaran kakitangan akademik dan pelajar peringkat ijazah sarjana, pasca siswazah serta pembangunan program pengajian luar negara.

“Sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, UPM sentiasa memberikan keutamaan dalam mengenal pasti penyelidikan masa hadapan bagi membangunkan dan mempromosikan penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi.

“Seramai 10 pelajar dan kakitangan UPM akan dihantar bagi program ini bermula semester baharu tidak lama lagi.

“Usaha ini membolehkan kedua-dua univesiti memulakan jaringan hubungan dalam bidang berkaitan sains dan bioteknologi.

“UPM sentiasa memberi keutamaan dalam mengenal pasti penyelidikan pada masa hadapan dan gembira dapat menjalin kerjasama dengan salah sebuah universiti terbaik di rantau Asia,” katanya pada sidang media majlis MoA itu.

Beliau mewakili UPM menandatangani MoA itu, manakala Universiti Chulalongkorn diwakili oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Polkit Sangvanich.

Menurut Prof. Datuk Dr. Mad Nasir, pelajar yang terpilih mengikuti program pertukaran itu akan mengikuti pengajian selama satu semester.

“Program ini juga dapat membantu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya dan gaya pembelajaran di luar negara,” katanya.

Sehubungan dengan majlis MoA itu, satu seminar bertajuk “ Workshop on Biotechnology of Biomass Utilization for ASEAN Development” diadakan pada 16 Ogos 2016 di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM.

Seramai lapan penyelidik UPM dan lapan penyelidik Universiti Chulalongkorn terlibat sebagai penceramah jemputan untuk seminar itu.

 

 

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284513