UPM STEM Bantu Murid Berkeperluan Khas Di SK Bukit Beruntung | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM STEM bantu Murid Berkeperluan Khas di SK Bukit Beruntung

UPM STEM bantu Murid Berkeperluan Khas di SK Bukit Beruntung


Oleh: Dr. Suriati Paiman

RAWANG –  Kumpulan UPM STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Fakulti Sains dengan kerjasama Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan slot Saintis UPM STEM bersama Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaaan Bukit Beruntung 2, baru-baru ini.

Program disertai sembilan pensyarah kanan dan empat pelajar pasca siswazah Fakulti Sains serta 10 pelajar siswazah daripada Potential Enhancement and Caring Education (PEaCE) FPP UPM yang bertindak sebagai fasilitator kepada 60 MBK dan 160 murid darjah empat aliran perdana.

Program itu melibatkan kanak-kanak istimewa dalam meneroka bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik melalui permainan. Pasukan ini dibantu oleh 10 orang tenaga pengajar dan lima pembantu pengurusan murid pendidikan khas.

Murid-murid khas ini merupakan kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah pembelajaran, antaranya autisme, hyperaktif (ADHD), sindrom down, cerebly palsy, slow learner, epilepsi dan disleksia.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Ruzita Mohamad Yusoh, berkata murid-murid berkeperluan khas memerlukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk menarik minat mereka untuk belajar seperti mana murid-murid di aliran perdana.

“Pembelajaran di bilik darjah bukanlah satu-satunya medium untuk memberi pengetahuan kepada murid-murid ini. Pembelajaran di luar bilik darjah boleh dijadikan pilihan untuk meningkatkan kefahaman dan memberi pengalaman serta keyakinan diri murid,” katanya.



Atas dasar tersebut, program minggu pendidikan khas yang bertemakan “Anak Istimewa Satu Anugerah” ini menggunakan pendekatan aktiviti hands-on yang memberi peluang kepada MBK ini menggunakan kemahiran deria (sensory skills) untuk memahami konsep sains dan matematik dengan lebih mudah dah menyeronokkan.
Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains Dr. Suriati Paiman berkata beliau berharap program tersebut dapat meningkatkan minat terhadap mata pelajaran sains dan matematik di kalangan murid sekolah rendah seawal yang mungkin agar mereka dapat mengaitkan fakta yang dipelajari di sekolah dengan aplikasi seharian di rumah.

“Konsep asas sains fizikal, teknologi, kejuruteraan dan matematik telah diterapkan dalam aktiviti yang dijalankan bagi menepati silibus kurikulum sains Darjah Empat.

“Pendekatan yang lebih santai mirip kepada kehidupan harian murid-murid seperti menghasilkan sendiri playdough yang boleh bersifat konduktor dan penebat dengan menggunakan resipi (komponen Matematik) melalui penggunaan bahan-bahan yang mudah ditemui di dapur seperti tepung, gula, garam dan minyak masak. Ini dapat menarik minat murid  untuk mempelajari dan mengaplikasi rekabentuk (komponen teknologi) asas litar yang mudah,” katanya.

Fasilitator yang juga bekas guru Fizik, Mohd Naqiuddin Che Ibrahim turut mengakui program itu  memberi beliau  pengalaman baharu cara berkomunikasi yang berbeza dengan murid aliran perdana.

“Saya bersama rakan Dr Nurhidayati Mokhtar menjalankan aktiviti permainan mengkategorikan pelbagai permainan kepada bahan magnet dan bahan bukan magnet. Anak-anak istimewa ini teruja dengan bahan magnet apabila boleh bermain kereta lumba,” katanya.

Antara aktiviti lain yang menarik minat murid-murid berkeperluan khas ialah cabaran rekabentuk struktur bangunan dan jambatan dengan menggunakan mashmallows dan toothpicks, roket berkuasa soda, dan gelang tiub getah berwarna-warni yang menggunakan berdasarkan konsep ketumpatan.

Pensyarah kanan Jabatan Kimia, Dr Siti Nurul Ain Jamil berkata ketika aktiviti mengenai bot yang menggunakan campuran cuka dan tepung soda bikarbonat dilakukan, kanak-kanak menjerit keriangan apabila bot menggunakan bahan terbuang seperti botol plastik boleh bergerak sendiri dan meminta untuk mencubanya sendiri. 

“Dengan adanya slot bersama saintis STEM dan MBK akan dapat meningkatkan keyakinan diri murid pendidikan khas untuk meneroka bidang sains sebagai bidang yang menyeronokkan, serta dapat memberi peluang kepada semua pihak terutamanya ahli akademik dari pelbagai bidang di universiti untuk mengenali anak-anak istimewa dengan lebih dekat dengan cara memahami fitrah mereka, yang sememangnya suka meneroka alam persekitaran mereka,” katanya.- UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511183698