UPM Sertai Program Cegah Dadah Sekolah Kebangsaan Serdang | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM sertai program cegah dadah Sekolah Kebangsaan Serdang

UPM sertai program cegah dadah Sekolah Kebangsaan Serdang

SERDANG, 14 Mac – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Pameran dan Aktiviti Interaktif Sempena Minggu Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) peringkat Sekolah Kebangsaan Serdang.

Program itu yang membabitkan 150 orang pelajar tahun 4, 5 dan 6 sekolah berkenaan, diadakan pada 21 Februari lalu itu dari jam 8.30 pagi sehingga jam 1 petang. 

Dekan FPSK, UPM Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat kepada pelajar mengenai bahaya dadah, alkohol, rokok, vape, inhalan dan HIV/Aids.

“Pihak kami menerima undangan program ini serta menubuhkan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada tujuh pensyarah dan 18 staf sokongan dari beberapa jabatan dan tiga pelajar dari pra dan pascasiswazah,” katanya.

Ahli jawatankuasa telah bersama-sama membina modul program bersifat interaktif yang dapat menarik minat serta dapat memberi impak kefahaman yang jelas kepada pelajar sekolah rendah mengenai rokok dan kandungannya, kesan bahaya rokok kepada sistem tubuh badan perokok serta kesan asap rokok kepada orang yang berada di sekeliling perokok. 

Penyelaras program, Profesor Madya Dr Zalinah Ahmad bertemu dengan guru Sekolah Kebangsaan Serdang, Syazana Mat Rasul bagi menyelaraskan program itu.

Ahli jawatankuasa telah menyediakan beberapa stesen penerangan yang terperinci bermula daripada aliran kemasukan asap rokok ke dalam tubuh manusia dari mulut, salur pernafasan dan paru-paru, salur darah dan beberapa organ utama, serta  menerangkan bagaimana asap rokok memberi kesan kepada bahagian anggota itu.

Pelbagai model buatan sendiri dan komersial serta poster diguna bagi memudahcarakan penerangan.

Turut diberi penekanan ialah langkah-langkah yang perlu diambil untuk membentuk budaya tidak merokok di kalangan generasi muda yang lebih dikenali sebagai Gen Y.

Sebelum sesi penerangan, borang kaji selidik diedarkan kapda pelajar bagi mengetahui tahap pengetahuan mereka mengenai rokok dan selepas penerangan pula, satu lagi borang kaji selidik diberi untuk menganalisis  tahap pengetahuan pelajar selepas program penerangan itu.

Ahli jawatankuasa merancang untuk mengadakan pertemuan bersama pelajar dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Serdang dalam tempoh masa enam bulan bagi meninjau amalan pelajar terbabit hasil daripada input pengetahuan yang diberikan mengenai keburukan merokok. - UPM

Tarikh Input: 11/04/2019 | Kemaskini: 11/04/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563470511