UPM Ranking Pertama Universiti Muda Di Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM ranking pertama universiti muda di Malaysia

UPM ranking pertama universiti muda di Malaysia

Oleh Nor Hazlina Zamaruddin & Khairul



SERDANG, 21 Sept -  Universiti Putra Malaysia (UPM) telah disenaraikan dalam ranking ke-17 terbaik dunia dalam QS Top 50 under 50 pada tahun ini dalam ranking yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) University rankings 2016/2017 hari ini.

Lonjakan 21 anak tangga berbanding ranking ke-38 pada tahun lepas itu sekaligus meletakkan UPM sebagai universiti muda terbaik di Malaysia yang menyenaraikan 50 universiti terbaik dunia di bawah usia 50 tahun.

Universiti Malaysia lain yang turut tersenarai ialah Universiti Teknologi Malaysia (kedudukan ke-25), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-26), dan Universiti Sains Malaysia (kedudukan ke-33).

Penilaian QS Top 50 under 50 ini menggunakan enam indikator yang sama seperti penilaian QS World University Ranking yang dikeluarkan baru-baru ini iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Faculty Student Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International students (5%).

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris menyifatkan kejayaan ranking dunia itu sebagai tiga kejayaan berturut-turut kerana pada 6 September lalu, UPM membuat lonjakan tertinggi 61 anak tangga antara semua universiti penyelidikan negara (RU) kepada kedudukan ke-270 universiti terbaik dunia berbanding ke-331 tahun lalu dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2016/2017.

“Dalam ranking itu, UPM melonjak sebagai universiti kedua terbaik dalam Malaysia berbanding kedudukan kelima pada tahun lalu.

“Malah pada 31 Ogos sebelumnya, UPM tersenarai sebagai universiti inovatif terbaik negara oleh ranking Reuters Top 75: Asia’s Most Innovative Universities berdasarkan kecemerlangan UPM dalam sains, penciptaan teknologi baharu dan membantu memacu ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata sebagai universiti bereputasi antarabangsa, ranking QS secara langsung dapat membantu menilai tahap visibiliti UPM terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan inovasi.

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284855