| Universiti Putra Malaysia

UPM pindah teknologi PadiU Putra kepada petani di Besut

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto oleh Noor Azreen Awang


JERTEH, 3 Feb - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan beberapa projek perintis melalui pemindahan teknologi dengan jenama ‘PadiU Putra’ untuk meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah padi.

Jenama PadiU Putra merupakan program penemuan penyelidikan yang dihasilkan di makmal dan lapangan untuk dimanfaatkan kepada pesawah padi

yang membolehkan penemuan penyelidikan digunakan secara terus melalui penglibatan pesawah dalam penyelidikan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata UPM akan terus membantu negara dalam bidang jaminan makanan padi dan beras di mana hasil penyelidikan UPM akan diperluaskan agar dapat memberi manfaat kepada petani.

“Melalui perolehan dari inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Skim Geran Jangka Panjang (LRGS), penyelidik UPM akan meneruskan penyelidikan mereka bagi tanaman padi bagi mengekalkan jaminan makanan untuk negara.

“Penyelidikan padi melalui LRGS bagi bidang keutamaan jaminan makanan yang diterajui oleh UPM dari tahun 2011 sehingga 2016 telah menghasilkan beberapa inovasi yang telah menyumbang kepada peningkatan penghasilan padi di beberapa platform penyelidikan di jelapang utama padi seperti di KADA, MADA dan IADA,” katanya dalam majlis pelancaran PadiU Putra di sini.

Terdahulu, inovasi dan teknologi penyelidikan ini telah dikemukakan kepada komuniti pesawah melalui pelancaran beberapa produk dan teknologi LRGS pada 30 Oktober 2016 di IADA KETARA Besut, Terengganu oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.

 



Sementara itu, menurut Ketua Program LRGS jaminan makanan – tanaman padi  UPM,  Prof Dr Mohd  Razi Ismail, walaupun terdapat pelbagai penemuan yang terhasil dari penyelidikan terdahulu, pesawah padi masih lagi berdepan dengan masalah yang sama seperti perubahan cuaca, serangan perosak dan penyakit, kesuburan tanah dan lain-lain komponen penentuan perkembangan dan hasil tanaman.

Katanya, data yang dikeluarkan menunjukkan kumpulan pesawah yang menyumbang kepada lebih dari 70% pengeluaran beras dan nasi sebagai makanan ruji negara, masih mempunyai tahap taraf sosioekonomi yang rendah dengan pendapatan yang agak sederhana rendah jika dibandingkan dengan pengusahaan komoditi pertanian yang lain.

“Keadaan ini tidak banyak berubah walaupun beberapa polisi dan inisiatif seperti subsidi, insentif dan tumpuan yang tinggi kepada kelompok pesawah telah diberikan oleh pihak kerajaan.

“Keadaan ini juga dapat diterjemahkan dengan kadar kecukupan sendiri atau SSL bagi beras negara adalah pada tahap kurang dari 72% (2015),” jelas Prof. Razi.


SXDTQA~