UPM-MPN Anjur Wacana Ilmuwan Sebagai Medan Pemerkasaan Perpaduan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM-MPN anjur Wacana Ilmuwan sebagai medan pemerkasaan perpaduan

UPM-MPN anjur Wacana Ilmuwan sebagai medan pemerkasaan perpaduan

Oleh Thiviyah Manicam

Foto oleh Marina Ismail

PUTRAJAYA, 13 Sep – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Majlis Profesor Negara (MPN) menganjurkan Wacana Ilmuwan bertujuan meningkatkan semangat perpaduan dan patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, sempena Sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan rakyat Malaysia pada 16 September 2017.

Program itu melibatkan 5000 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan ilmuwan, tokoh-tokoh sasterawan, warga pendidik dan pelajar-pelajar universiti awam (UA) di sekitar Lembah Klang dapat memupuk semangat jati diri dan perpaduan masyarakat, perasaan setia dan cinta akan negara serta meningkatkan semangat perjuangan dan pengorbanan demi pembangunan dan kemakmuran Malaysia selaras dengan sambutan Hari Malaysia Negaraku: Sehati Sejiwa.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata melalui program itu dapat menanam semangat patriotik dalam meneraju perpaduan kaum.

“Apabila kita ingin membincangkan soal perpaduan dan integrasi nasional, di kampuslah tempat yang paling sesuai untuk kita laungkan agenda besar ini. Malah, komuniti di kampus adalah terjemahan masyarakat di luar kerana faktor kerencaman dan perbezaan latar belakang.

“UPM akan sentiasa menyokong program seumpama ini, kerana selain mengejar kecemerlangan akademik dan kesohoran di peringkat global.  Institut Pengajian Tinggi perlu menjadi peneraju utama kepada usaha pemupukan kepada perpaduan kaum dan integrasi nasional demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Pada masa yang sama, program itu dapat menghubungkan para ilmuwan dengan rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai masyarakat untuk meningkatkan semangat patriotisme juga antara objektif Wacana Ilmuwan.

Wacana yang mengetengahkan topik ‘Negaraku Malaysia: Di Mana, Ke Mana Kita?’ itu menampilkan panel jemputan ternama iaitu Timbalan Pengerusi MPN Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin; Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN, Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong; Setiausaha Kluster Perpaduan Nasional MPN, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian; Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Awang Asri Awang Ibrahim, dan Pensyarah UPM, Prof. Madya. Dr. Sarjit Singh Darshan Singh.

Dalam wacana itu, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menekankan bahawa ‘Perpaduan, Kesepaduan Sosial dan Penyatupaduan’ merupakan tiga prinsip penting dan merupakan keramat mengenali Malaysia dalam proses mencapai perpaduan.

Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong pula meletakkan idea bahawa cara strategik perlu difikirkan untuk mewujudkan dan memantapkan konsep kenegaraan tanpa mengira agama dan bangsa dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

Sementara itu, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian pula mengkritik bahawa rakyat Malaysia hanya bersatu padu dalam empat perkara sahaja iaitu hiburan, sukan, makanan dan insiden seperti MH17 dan MH 370 yang menunjukkan sikap selektif mereka dan perpaduan sosial yang merupakan tanggungjawab bersama kurang dititik beratkan.

Beliau juga berkata bahawa kita harus membela perpaduan yang sudah pun dicapai sebagai rakyat Malaysia yang bernilai sivik.

Idea-idea yang dilontarkan oleh para panel melalui Wacana Ilmuwan membuka mata sidang hadirin bahawa betapa pentingnya perpaduan dan integrasi sosial dalam negara Malaysia yang meliputi rakyat yang berbilang bangsa dan agama bak kata pepatah bersatu kita teguh bercerai kita roboh khususnya dalam aspek Malaysia yang berbilang kaum.

 

Tarikh Input: 26/09/2017 | Kemaskini: 26/09/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1542666323