UPM Lancar Projek Sistem Pengangkutan Guna Kereta Elektrik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM lancar projek sistem pengangkutan guna kereta elektrik

UPM lancar projek sistem pengangkutan guna kereta elektrik

Oleh Azman Zakaria

SERDANG, 25 Mei -  Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Kejuruteraannya kini melaksanakan projek sistem pengangkutan menggunakan kereta elektrik, MyCOMS yang pertama seumpamanya di Malaysia, bagi kegunaan kakitangan dan pelajar dalam menerapkan teknologi hijau di kampus.

Projek itu direalisasikan melalui penajaan tiga kereta elektrik Toyota, Chotto Odekake Machimade Suisui (COMS) yang bermaksud ‘smooth, short rides into town’ oleh Toyota Auto Body Japan. COMS adalah kenderaan elektrik ultra-kompak satu tempat duduk.

Projek itu bertujuan menambah baik sistem pengangkutan sedia ada kepada lebih mesra alam. Satu sistem pemantauan kereta juga dibangunkan yang membolehkan pengguna menempah waktu kegunaan kenderaan secara atas talian serta memantau lokasi terkini kenderaan MyCOMS di atas talian.

Ia hasil kerjasama UPM, Toyota Auto Body Malaysia (TABM), Toyota Auto Body Japan (TABJ) dan Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Japan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, MyCOMS adalah  inisiatif yang diambil untuk terus menyokong dan memperkukuhkan aspirasi kampus hijau UPM  dengan mengurangkan pelepassan karbon  di dalam kampus dan menyediakan pengangkutan mesra alam.

“UPM amat berbesr hati menerima tiga kenderaan elektrik COMS dari TABJ dan TABM. Pemberian kenderaan ini amat kami hargai lebih-lebih lagi Toyota COMS adalah kenderaan elektrik pertama di Malaysia, dan Toyota COMS telah meningkatkan potensi kita sebagai ‘universiti hijau’ ke tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika melancarkan projek MyCOMS di sini.

Beliau berkata, projek itu digerakkan dengan konsepsinya bermula pada 2015, dan akan menjadi pemangkin kepada penyelidik UPM untuk menjalankan penyelidikan membangunkan sendiri kenderaan elektrik.

Katanya, penyelidik UPM yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan elektrikal dan elektronik, komputer, komunikasi, mekanikal dan teknologi maklumat mengambil bahagian dalam proses reka bentuk, sistem pembangunan dan menguji operasi untuk memastikan kejayaan projek itu.

“Oleh kerana saiznya yang kecil, ia akan mengurangkan saiz tempat meletak kenderaan, manakala fungsi elektriknya boleh mengurangkan pelepasan karbon serta  penggunaan sumber tenaga.

“Sistem pemantauan aplikasi perisian yang diberi nama ‘MyCOMS apps’ telah dibangunkan untuk pengguna android and web, yang membolehkan pengguna menggunakan aplikasi ini untuk membuat tempahan kenderaan elektrik MyCOMS secara atas talian,” katanya.

Sementara itu, pengarah urusan Toyota Automotive Body Japan, Masaki Fukada berkata penggunaan COMS di Jepun sedang berkembang luas dan berharap UPM akan menjadi pangkalan model bagi pertumbuhan kenderaan elektrik ultra-kompak dan sistem pengangkutan bagi bandar-bandar di Malaysia. - UPM

Kemaskini:: 29/05/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300094