UPM Kongsi Kefahaman Pendekatan Wasatiyyah Dengan Masyarakat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM kongsi kefahaman pendekatan wasatiyyah dengan masyarakat

UPM kongsi kefahaman pendekatan wasatiyyah dengan masyarakat

Oleh Syifarida Zaki

Foto oleh Marina Ismail

SERDANG, 27 Feb - Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan seminar Pendekatan Wasatiyyah: Aplikasi, Penerapan Serta Cabaran sebagai platform berkongsi kefahaman mengenai pendekatan wasatiyyah dan kesederhanaan menurut Islam kepada masyarakat.

Seminar yang dianjurkan bersama Pejabat Pendaftar UPM dan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Jabatan Perdana Menteri itu diadakan selama dua hari di Panggung Percubaan, UPM.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata mereka yang dapat menghayati konsep Ihsan bermakna telah mendokong agenda Wasatiyyah.

“Konsep Ihsan yang telah diperkenalkan di UPM pada 2016 sehingga kini menjadi tema untuk dihayati oleh warga kampus.

“UPM memainkan peranan penting dalam mengetengahkan pendekatan Wasatiyyah ini menerusi wacana ilmu dan akademik yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin ketika berucap merasmikan seminar itu berkata penghayatan Wasatiyyah memerlukan suatu proses dalam realiti kehidupan.

“Oleh itu, konsep Wasatiyyah memerlukan orang yang menyeru dan mengajak manusia kepada kebaikan supaya ia mendatangkan manfaat kepada orang ramai.

“Konsep Wasatiyyah perlu disemarakkan lagi dalam pelbagai bidang seperti pembangunan modal insan, pendidikan, politik, ekonomi, sosio budaya, sistem perbankan dan kewangan Islam, institusi wakaf, zakat dan lain-lain. 

“Justeru, para pemikir dan para ahli akademik diperlukan untuk membuat kerja-kerja penyelidikan dan penulisan supaya dapat dijadikan bahan bacaan dan rujukan masyarakat,” katanya

Seramai 350 peserta daripada universiti awam, warga UPM dan orang awam menghadiri seminar itu.

Tan Sri Dr. Abdullah bin Md Zin turut menjadi pembentang sesi 1 bertajuk “Wasatiyyah sebagai Dasar Negara”.  Antara pembentang lain ialah pensyarah UPM, Dr. Mohd Sukki Othman, “Wasatiyyah dalam al-Quran dan al-sunnah”; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, “Wasatiyyah dalam Mendepani Cabaran Eksterimisme” dan dua Panel Forum Wasatiyyah bertajuk “Pendekatan Wasatiyyah dalam Hubungan antara Kaum dan Agama di Malaysia” oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong serta  pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Prof. Dr. Zaid Ahmad.

Turut hadir ialah Pengarah, Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri Dato’ Mohd Yusof Din dan Pengarah Pusat Islam Universiti, UPM, Mat Razi Abdullah. - UPM

Tarikh Input: 05/03/2018 | Kemaskini: 05/03/2018 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1539809890