| Universiti Putra Malaysia

UPM, KL Post Production Sdn. Bhd. bantu tingkat kompetensi pelajar dalam bidang penyiaran

Oleh: Mohd Khairul Zainal Abidin

SERDANG, 26 Mei  – Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan KL Post Production Sdn. Bhd. telah mengadakan sesi perkongsian bersama pelajar UPM dalam bidang penyiaran baru-baru ini.

Seramai 70 orang pelajar tahun 1 hingga tahun 4 di dalam Program Bacelor Komunikasi (Major Penyiaran), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM telah menyertai sesi tersebut.

Pengarah PKKSSAAS, UPM, Husalshah Rizal Hussian berkata beliau berharap melalui  sesi perkongsian tersebut pelajar mendapat peluang meningkatkan ilmu pengetahuan serta mendapat pendedahan yang khusus seiring dengan perkembangan penyiaran masa kini.

”Ini secara langsung pelajar mendapat pendedahan secara telus oleh industri penyiaran dan berpeluang menerokai pengalaman sebenar dalam bidang tersebut untuk diaplikasikan semasa menjalankan latihan industri kelak,” katanya.

Sesi perkongsian ini telah dikendalikan oleh Penerbit Program Mega Spontan, Noradyman Md. Sulaiman. Melalui sesi ini, pelajar UPM merasai suasana sebenar pengurusan produksi TV antaranya ilmu pengarahan, lakonan, pengurusan produksi, jurukamera/lampu/audio, dan suntingan.

Sementara itu, program Mega Spontan yang bersiaran di Astro Warna saluran 132 ini diadakan bertempat di Panggung Percubaan, PKKSSAAS bermula 19 Mei 2023 hingga 7 Julai 2023. - UPM

WXEeWAQ~