| Universiti Putra Malaysia

UPM hasil kit pengurusan kewangan kanak-kanak

Oleh Dr. Mohamad Fazli Sabri


Gambar penyelidik ‘Kit Bijak Wang : Anak Bijak Cerdik Duit’


NILAI - Dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan kit pengajaran untuk meningkatkan kesedaran golongan ibubapa dan pendidik mengenai amalan bijak pengurusan kewangan kanak-kanak.

Penyelidik daripada Fakulti Ekologi Manusia iaitu Dr. Mohamad Fazli Sabri dan Nurhayatul Nira Ramli telah menghasilkan  ‘Kit Bijak Wang :Anak Bijak Cerdik Duit’ yang terdiri 16 bahan pengajaran interaktif berbentuk permainan yang disusun mengikut kesesuaian kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.

Dr. Mohamad Fazli berkata kit itu mengandungi 6 unit asas pengurusan kewangan iaitu Mari Kenal Wang, Matlamat Kewangan, Keperluan vs Kehendak, Simpanan, Belanja dan Bajet serta Konsep Asas Perbankan Islam.



Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit


“Kajian mendapati kanak-kanak yang didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan sejak awal usia mampu memberi kesan positif kepada amalan pengurusan kewangan semasa mereka dewasa.

“Kit ini membantu ibubapa dan guru-guru memberikan pemahaman awal kepada kanak-kanak berkaitan konsep asas wang dan pengurusan kewangan dengan menyediakan model aktiviti pendidikan kewangan yang bersesuaian dengan tahap umur dan perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Fazli berkata Kit Bijak Wang mampu membina keupayaan kanak-kanak untuk menjadi pengurus  kewangan yang berhemah dan berintegriti tinggi.

Produk itu memenangi gangsa kategori Terbuka : Sains Sosial dalam  Ekspo Inovasi Islam atau lebih dikenali sebagai i-Inova pada 25-27 Oktober 2013.

i-Inova’13 adalah pertandingan produk inovasi yang menggalakkan penghasilan produk inovasi untuk memenuhi keperluan institusi, organisasi ataupun industri di Malaysia. Ia disertai oleh 16 institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat penyelidikan (RIs) tempatan dan antarabangsa. Tahun ini sebanyak 140 produk dipertandingkan.

Sebanyak tujuh IPT dan pusat penyelidikan (RIs) antarabangsa turut mengambil bahagian dalam i-Inova’13 seperti Indonesia, Brunei, Gaza, Mesir, Sudan dan sebagainya.

Penganjuran pada kali ini telah diadakan dari 26 sehingga 28 Oktober 2013 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan dan telah dirasmikan oleh Cancelor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani.


SXDTLA7~