UPM Bolot Empat Anugerah Akademik Negara 2013 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM bolot empat Anugerah Akademik Negara 2013

UPM bolot empat Anugerah Akademik Negara 2013

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto Marina Moniz


Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak menyampaikan anugerah kepada pemenang AAN 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya


PUTRAJAYA , 2 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) membolot empat daripada lapan Anugerah Akademik Negara (AAN) 2013.

Empat anugerah itu ialah Anugerah Tokoh Akademik Negara yang diterima oleh Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Baba dan  Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan) yang diterima oleh Prof. Dr. Jayakaran Mukundan dari Fakulti Pengajian Pendidikan.

Penerima UPM lain ialah  Prof. Dr.Hajah Rahinah Ibrahim dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina bagi Anugerah Seni dan Kreativiti (kategori Seni Visual/Seni Bina/Seni Kraf) dan Prof Dr. Azni Idris dari Fakulti Kejuruteraan bagi Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk.


Naib Canselor bersama penerima Anugerah AAN 2013 UPM, Prof Dr. Azni bin Idris (kiri), Prof. Dr.Hajah Rahinah binti Ibrahim (dua dari kanan), Prof. Dr. Jayakaran Mukundan (kanan) & Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Baba (memegang piala)


Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak menyampaikan anugerah kepada pemenang AAN 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.  Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Fauzi Ramlan melahirkan kegembiraan kerana AAN yang merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada akademia yang berjasa dan cemerlang dalam pendidikan serta pembangunan negara telah mengiktiraf semakin ramai warga akademia UPM.

“Anugerah ini amat bererti buat UPM kerana ia bukan sahaja dalam aspek pengajaran dan penyelidikan tetapi meliputi sumbangan ahli akademik memindahkan ilmu dan teknologi kepada pembangunan negara dan masyarakat serta penglibatan komuniti yang menjana kekayaan kepada masyarakat,” katanya yang ditemui selepas majlis.



Kategori anugerah lain ialah Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal dan Anugerah Penerbitan Buku. Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima RM200,000 beserta piala dan sijil penghargaan sementara penerima lain mendapat RM50,000 beserta piala dan sijil penghargaan.

AAN yang masuk tahun kelapan sejak penganjurannya pada tahun 2006 telah menobatkan 41 ahli akademik yang kini aktif menyumbang kepakaran dan ilmu kepada bukan sahaja ahli akademik dan pelajar malahan merangkumi masyarakat melalui penganjuran forum, wacana ilmu, penerbitan artikel, wawancara TV dan sebagainya.



ANUGERAH TOKOH AKADEMIK NEGARA

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Baba

Beliau dilantik sebagai Naib Canselor yang pertama menerajui Universiti Pertanian Malaysia dari tahun 1971 hingga 1982. Selaku Naib Canselor pertama, beliau telah berjaya menubuhkan sembilan buah fakulti dan dua pusat yang mengendalikan sembilan belas program ijazah, sembilan  program diploma dan satu program profesional serta ijazah lanjutan.

Beliau turut bekerjasama menerajui penswastaan pertama negara iaitu Syarikat Telekom Malaysia Berhad sebagai Pengerusi Eksekutif pada tahun 1987 hingga 1995, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dan turut menganggotai lembaga pengarah syarikat untuk beberapa anak syarikat Kumpulan Guthrie Berhad bermula tahun 1982 hingga 1987. Pelantikan beliau sebagai Pengarah Bebas di Unisem (M) Berhad masih diteruskan hingga ke hari ini sejak tahun 1998. Kemuncak kepada ketokohan beliau sebagai tokoh pendidikan ialah semasa beliau dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus daripada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1999.


Prof. Dr. Jayakaran Mukundan


ANUGERAH PENGAJARAN
(Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan)

Prof. Dr. Jayakaran Mukundan

Beliau menulis lebih daripada 80 artikel jurnal, 23 bab dalam buku dan 30 buah buku. Sumbangan dan kegigihannya membuatkan beliau menerima pelbagai anugerah di peringkat Universiti serta berjaya memenangi lima pingat antarabangsa, tiga pingat tempatan dan dua puluh sembilan pingat Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi, UPM dan berjaya memperoleh hak cipta bagi empat perisian.


Prof. Dr.Hajah Rahinah binti Ibrahim


ANUGERAH SENI DAN KREATIVITI
(Kategori Seni Visual/Seni Bina/Seni Kraf)

Prof. Dr.Hajah Rahinah binti Ibrahim

Beliau tersenarai sebagai Top Research Scientist Malaysia 2012 yang juga merupakan satu-satunya penerima yang mempunyai  latarbelakang pereka dan arkitek daripada Akademi Sains Malaysia.

Sistem pembinaan yang berasaskan inovasi sumber kayu yang telah direka oleh beliau telah mula mendapat perhatian dari industri pembinaan tempatan dan luar negara. Selaku perintis kepada projek ini, UPM telah memberi geran penyelidikan sebanyak RM2.2 juta untuk penggunaan SABSystem bagi cadangan penstrukturan Green Village (Mini Smart City) di UPM kampus Serdang.


Prof Dr. Azni bin Idris, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk


ANUGERAH INOVASI DAN PENGKOMERSIALAN PRODUK

Prof Dr. Azni bin Idris

Beliau mempunyai lebih daripada 26 tahun pengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja penyelidikan dan proses rawatan sisi kumbahan serta bergiat aktif dalam projek perundingan (pengurusan sisa) dengan menyumbangkan kepakaran teknikal, khidmat nasihat dalam reka bentuk alam sekitar dan teknologi rawatan untuk pelbagai jenis sisa buangan industri.


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563509462