UPM Bantu Kelantan Tanam Pokok Hutan ‘PAULOWNIA’ Untuk Projek Ladang Hutan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM bantu Kelantan tanam pokok hutan ‘PAULOWNIA’ untuk projek ladang hutan

UPM bantu Kelantan tanam pokok hutan ‘PAULOWNIA’ untuk projek ladang hutan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh


Simbolik penanaman pokok Paulownia oleh Tengku Adil Hazraq dan disaksikan oleh Dr. H’ng Paik San (kiri) dan Wong Chin Choong (kanan)


GUA MUSANG - Institut Penyelidikan Perhutanan dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerajui penyelidikan dalam membantu Kelantan menanam  2,000 anak pokok spesies pokok hutan ‘Paulownia tomentosa’ untuk ladang hutan di Mering di sini. 

Penyelidikan dan penanaman tanaman pokok Paulownia yang merupakan pokok asli Asia itu dijalankan di kawasan seluas 200 hektar di hutan mukim Mering di Lojing, dalam daerah Gua Musang, Kelantan dengan bantuan Syarikat Pollywood Sdn Bhd.

Penyelidikan penanaman pokok itu bertujuan untuk melihat kesesuaian paulownia ditanam di negara ini berdasarkan kajian terhadap iklim dan kelembapan di kawasan monsun tropika sebelum ia boleh dikomersialkan.

Penyelidik daripada INTROP UPM, Prof. Madya Dr. H’ng Paik San berkata pokok Paulownia yang dikenali dengan nama Empress Cina, pokok Princess atau pokok Kiri itu terkenal kerana kadar pertumbuhan cepat, bunganya cantik berwarna lavender dan berbau harum, saiz daun  besar seakan telinga gajah mempunyai nilai komoditi jualan kayu sangat tinggi.


Dr. H’ng Paik San dan pelajar-pelajar INTROP dan Fakulti Perhutanan menanam anak pokok


“Pasaran eksport utamanya  adalah negara China, Taiwan dan Jepun, digunakan untuk membuat perabot, kotak hadiah, mangkuk, mainan, terompah, kraf tangan dan alat muzik. Selain daripada itu, kayunya digunakan untuk produk tradisional seperti kayu gergaji, industri  pembinaan, papan lapis dan venir.

“Pembangunan perladangan ini adalah dengan menggunakan benih genetik Paulownia yang tinggi kualiti melalui pemilihan variasi pokok

dan tanaman untuk pertumbuhan yang cepat dan menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi.

“Kaedah ini dapat mempertingkatkan ekonomi seperti penghasilan bahan penyelidikan yang bernilai tinggi; seperti enzim untuk perindustrian dan pertanian,” katanya.

Majlis pecah tanah projek di Lojing, Gua Musang  pada 8 Disember 2016, dirasmikan oleh penaung projek,  Tengku Adil Hazraq Tengku Abdul Halim dan turut disaksikan oleh Ketua Eksekutif  Syarikat Pollywood Sdn Bhd, Wong Chin Choong selain Prof Madya Dr. H’ng Paik San.

Dr. H’ng berkata UPM dan Pollywood berhasrat menambah konservasi hutan di Lojing bagi menangani kesan pencemaran alam sekitar dan kekurangan hutan, pemencilan karbon hutan, pengeluaran biosumber secara mampan dan  biodiversiti hutan.

Penubuhan ladang hutan percubaan Paulownia adalah sebagai salah satu langkah bagi menangani kekurangan sumber kayu tradisional yang semakin meningkat,” katanya.


Tapak ladang hutan seluas 200 hektar yang akan ditanam dengan pokok Paulownia di hutan mukim Mering, Lojing, Gua Musang, Kelantan dengan bantuan Syarikat Pollywood dan kepakaran UPM


Melalui memorandum persefahaman ini UPM dalam penyaringan dan mengenal pasti tanaman yang berpotensi untuk industri biokomposit dan mengkomersialkan tanaman baharu melalui pembangunan sistem perladangan mampan. 

Kerjasama itu akan menumpukan penyelidikan terperinci produk hutan daripada pokok Paulownia, pertukaran penyelidik dan pelajar pasca siswazah, penempatan pelajar pra siswazah untuk latihan industri, pertukaran data penyelidikan dan penyelidikan bersama.

Pollywood merupakan syarikat tempatan yang menjalankan perniagaan berkaitan dengan pertanian,perhutanan dan produk hutan sementara INTROP adalah institusi penyelidikan UPM yang berperanan mengembangkan penyelidikan perhutanan hutan tropika dan produk hutan di Malaysia.

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860671