| Universiti Putra Malaysia

UPM bantu bina rumah Orang Asli di Kampung Batu 5, Tapah


Oleh: Yasmin Yusoff & Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohd Hasrul Hamdan

TAPAH, 25 April – Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu pembinaan rumah Projek Teratak Semai yang selesa untuk penduduk Orang Asli di Kampung Batu 16, Tapah, Perak.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata pembinaan rumah yang turut mendapat kerjasama Pejabat ADUN Chenderiang dan Malaysian Medical Association (MMA) menggunakan konsep self-building housing yang melibatkan kemahiran pembinaan anggota pemilik rumah dengan kos ekonomik dan  selesa.

“Projek Teratak Semai ini bertujuan menggantikan kediaman Orang Asli yang telah usang, dengan rumah yang lebih kukuh, serta memperkenalkan teknik baharu dalam pembinaan rumah,” katanya.

Beliau menghargai usaha UPM menghulurkan bantuan serta kepakaran kepada penduduk Orang Asli yang memerlukan rumah kediaman yang kondusif  serta memberi pengetahuan dalam pembinaan asas rumah yang lebih kukuh.

Pemilik rumah, Suria a/p Bah Kasim, 49, melahirkan kesyukuran kerana Orang Asli di kampung itu memperoleh penempatan baharu hasil daripada projek tersebut.

“Pembinaan rumah yang menggunakan buluh dan daun bertam adalah bersesuaian dengan kehendak penduduk di kampung ini dan saya akan menambah beberapa ruang di dalam rumah ini iaitu bilik tidur dan bilik air,” katanya.



Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr.Aini Ideris berkata projek itu merupakan projek integrasi dan jaringan di antara UPM, masyarakat tempatan, organisasi kerajaan dan  swasta.

“Dengan adanya projek ini, pemindahan pengetahuan serta kemahiran dapat dilakukan daripada segi teknik pembinaan rumah yang mudah kepada penduduk tempatan. manakala pelajar UPM memperoleh pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan serta mengenali budaya penduduk Orang Asli kaum Semai,” katanya.

Dekan FRSB UPM, Prof. Madya Lar. Dr. Osman Mohd Tahir berkata projek yang dijalankan sehingga kini membabitkan tiga fasa melibatkan pembinaan semula rumah sebanyak 16 unit dari tahun 2015 hingga Februari lalu.

“Program yang akan memasuki fasa keempat bagi pembinaan 18 buah rumah ini mendapat sambutan sebanyak 600 pemohon yang berminat untuk menyertai. Pembinaan self-build secara tidak langsung dapat memberi autonomi kepada pemilik dalam mereka bentuk ruang kediaman mengikut kehendak setiap keluarga,” katanya.

Projek tersebut turut mendapat kerjasama dari pihak swasta yang membuktikan kepercayaan pihak mereka bergabung bersama pihak universiti bagi menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan. - UPM

 


WXDTOAm~