UPM Anjur Program Kerjasama Pintar MeSTI BKKM-UPM2016 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur program kerjasama pintar MeSTI BKKM-UPM2016

UPM anjur program kerjasama pintar MeSTI BKKM-UPM2016

Oleh Noor Eszereen Juferi

Foto oleh Marina Ismail



SERDANG -  Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Program Kerjasama Pintar MeSTI BKKM-UPM 2016 bagi membantu industri dalam mewujudkan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) khususnya skim pensijilan “Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)”.

Penasihat program, Dr. Maimunah Sanny berkata melalui program itu pelajar-pelajar diberikan latihan yang komprehensif oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan untuk memastikan pelajar bersedia membantu industri.

“Program ini secara asasnya untuk menjadikan pelajar sebagai medium perantaraan BKKM dengan industri. Pelajar terpilih adalah pelajar yang akan menjalani Latihan Industri (LI) selama enam bulan bermula Februari 2016,” katanya.



Tambah beliau, program dengan kerjasama BKKM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Penyelidikan Keselamatan Makanan (FOSREC) itu bertujuan menempatkan pelajar yang bakal menjalani latihan industri pada semester kedua sesi 2015/2016 di Enterprise Kecil dan Sederhana (EKS) terpilih.

“Pelajar turut bersedia membantu industri dalam mewujudkan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) khususnya skim pensijilan MeSTI serta pihak pengusaha perlu membangunkan sistem amalan yang terancang dan didokumentasikan berserta rekod kawalan,” katanya.

Skim pensijilan MeSTI adalah skim yang dijenamakan semula bagi menggantikan Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M). Skim Pensijilan MeSTI merupakan hasil penambahbaikan dari SK1M bagi memudahkan enterprise makanan terutamanya pihak EKS memenuhi keperluan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kolaborasi itu dapat membantu FSTM menyediakan bidang praktikal kursus Latihan Industri bagi program-program ditawarkan di peringkat fakulti. - UPM

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112806