UPM Akan Tubuhkan Akademi Pengakap Sebagai Aktiviti Kesukarelawanan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM akan tubuhkan Akademi Pengakap sebagai aktiviti kesukarelawanan

UPM akan tubuhkan Akademi Pengakap sebagai aktiviti kesukarelawanan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



BINTULU, 10 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan Akademi Pengakap di kampusnya sebagai sokongan kuat kepada aktiviti kesukarelawanan yang boleh dimanfaatkan oleh institusi pengajian tinggi yang mempunyai Kumpulan Latihan Kelana Siswa (KLKM).

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata beliau akan meminta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM untuk merealisasikan usaha itu untuk membantu negara dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan sebagai pusat rujukan pergerakan pengakap.

“UPM menyambut cabaran yang dicadangkan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Kumpulan Latihan Kelana Siswa (KLKM), Prof Madya Dr Abdul Rashid Mohamad supaya UPM menerajui usaha aktiviti-aktiviti pengakap dengan KLKM universiti lain.

“Usaha KLKM dan elemen-elemen pergerakan pengakap sememangnya sangat signifikan dengan keperluan pelajar pada masa kini kerana selaras dengan konsep IHSAN sebagai tonggak kecemerlangan UPM iaitu pekerjaan dilaksanakan dengan efisien  untuk mencapai kualiti kecemerlangan dalam berbakti kepada masyarakat dan Negara,” katanya selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah UPM.

Beliau mengulas cadangan Dr Rashid semasa merasmikan program Higher Institution National Exploration & Camping (HINEX CAMP) kali ke-14, di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu (UPMKB), di sini, kelmarin di mana UPM dipilih sebagai tuan rumah dengan penyertaan seramai 205 peserta dan pegawai pengiring menyertai program HINEX bermula 9 hingga 15 Oktober depan.

Beliau berkata, pengurusan UPM juga menyalurkan sejumlah peruntukan RM150,000 bagi tujuan menaik taraf tapak perkhemahan di Kem Hutan Nirwana di UPMKB sebagai sokongan padu UPM yang menjadi tuan rumah dalam menjayakan program berkenaan.

"Saya sendiri sudah melakukan lawatan tapak ke kawasan perkhemahan ini, dan yakin dengan kenaikan taraf ini dapat merealisasikan harapan untuk menjadikan program ini sebagai program yang akan dikenang dan memberikan impak yang tinggi kepada peserta.

"Kita berharap dengan program ini akan dapat melahirkan pelajar yang cergas serta mempunyai ketahanan dari segi mental dan fizikal melalui aktiviti fizikal dan aktiviti pengakap," katanya.  



Selain Dr Abdul Rashid, turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM merangkap Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Daerah UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin dan Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPMKB Prof. Madya Dr. Zamri Rosli.

Program itu adalah anjuran KLKM daerah UPM membabitkan pelajar UPM, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Mukah.

Program itu turut dijayakan dengan kerjasama UPM Kampus Bintulu, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Persatuan Pengakap Negeri KLKM dan Persatuan Pengakap Malaysia.

Antara aktiviti peserta kem itu ialah Similajau Jungle Tracking, Night Walk Kem Hutan Nirwana, Malam Mesra Alumni selain menyertai ekspedisi ke Gua Niah, lawatan ke rumah panjang dan program seperti khidmat komuniti di Kuala Tatau dan Sebauh.



Sehari sebelum perasmian, Prof Datin Paduka Dr Aini membuat tinjauan HINEX CAMP di Kem Hutan Nirwana untuk meninjau persiapan program peserta HINEX CAMP dan menanam pokok Kapur (Dipterocarpaceace) di kawasan perkhemahan itu sebagai simbolik perasmian HINEX.

Sempena HINEX 2016, UPM Kampus Bintulu julung kalinya mengadakan International Youth Forum selama dua hari yang bertujuan membolehkan peserta bertukar idea dalam pelbagai isu dari pelbagai negara seperti Ghana, Bangladesh, Nigeria, Indonesia dan Brunei yang akan menyertai forum ini selama 2 hari.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248600