Tingkatkan Usaha Tanam Pokok Di Hutan Paya Gambut Yang Terbakar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tingkatkan usaha tanam pokok di Hutan Paya Gambut yang terbakar

Tingkatkan usaha tanam pokok di Hutan Paya Gambut yang terbakar

By  Azman Zakaria  



SERDANG, 12 Mac (UPM) – Penanaman pokok di kawasan hutan paya gambut yang terosot perlu diperhebat dan diperbanyakkan untuk mengurangkan risiko kebakaran, sekali gus jerebu yang sering berlaku apabila musim kering.

Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin berkata, meskipun pihak dan agensi yang berkaitan melaksanakan usaha penanaman pokok, namun ia masih belum mencukupi kerana kawasan hutan gambut yang terosot dan sudah terbakar semakin membesar disebabkan kebakaran yang berulang di kawasan yang sama.

“Hutan paya gambut adalah ekosistem yang penting yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk membekalkan perkhidmatan ekosistem seperti pengawalan air dan penyimpanan karbon. “Kebakaran yang berlaku di hutan paya gambut akan memusnahkan kepelbagaian biologi dan juga boleh melepaskan partikel yang boleh menyebabkan jerebu,” katanya dalam temu bual.

Beliau juga berkata, pembangunan kawasan berdekatan dengan hutan paya gambut perlu diselia dengan lebih teliti supaya tidak berlaku aktiviti pencerobohan hutan.

Malahan katanya, adalah lebih baik jika diadakan zon penampan untuk kawasan hutan paya gambut bagi memelihara daripada dicerobohi. Beliau berkata, pada masa yang sama, penerokaan hutan paya gambut untuk pertanian perlu dikurangkan, manakala di kawasan tanah gambut pula tidak perlu dibuat terusan atau perparitan kerana ia akan hanya mengalirkan keluar air yang tersimpan dalam tanah di kawasan berkenaan seterusnya menyebabkan tanah itu menjadi lebih kering.

Mengenai risiko kebakaran hutan pada tahun ini, menurutnya meskipun suhu panas dialami di beberapa negeri dengan kadar hujan yang kurang daripada biasa bagi tempoh Januari hingga Mac, namun pada umumnya kadar hujan itu lebih tinggi daripada purata yang dialami bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Tahun lepas terdapat musim kering yang panjang dan banyak berlaku kebakaran hutan.

“Tahun ini lebih baik daripada tahun lalu… musim kering pada tahun lalu lebih panjang,” katanya.

Suhu pada Februari dan Mac biasanya lebih tinggi kerana awan yang kurang ketika di akhir musim Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, pada tahun ini juga El-Nino dijangka berada pada peringkat lemah, namun semua pihak perlu berjaga-jaga kerana pada ketika hujan yang kurang, keadaan di sesuatu tempat terutamanya belukar dan hutan akan lebih terdedah kepada kemungkinan kebakaran.

Menurutnya, kebakaran hutan dan belukar terutama di kawasan tanah gambut selalunya berlaku pada Julai hingga Ogos, sehingga boleh mengakibatkan keadaan cuaca yang berjerebu.

Dr Ahmad Ainuddin berkata sejak kebelakangan ini tren cuaca sentiasa berubah di negara ini, maka setiap individu atau pihak yang berkenaan perlu bersedia untuk membuat persediaan awal untuk berdepan dengan keadaan seperti musim kering atau seumpamanya. “Sikap bersedia dan berjaga-jaga boleh mengurangkan insiden kebakaran hutan paya gambut dan juga jerebu,” katanya. - UPM

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563470956