Sistem ‘traceability’ Komprehensif Perlu Dalam Industri Makanan Halal | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Sistem ‘traceability’ komprehensif perlu dalam industri makanan Halal

Sistem ‘traceability’ komprehensif perlu dalam industri makanan Halal

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang

                                                                    

SERDANG, 24 Nov - Industri makanan halal memerlukan ‘traceability system’ (sistem mampu kesan) yang komprehensif dan boleh dipercayai untuk memastikan pelanggan sentiasa dilindungi dan selamat daripada termakan makanan tidak Halal tanpa menyedarinya.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Shuhaimi Mustafa berkata, produk halal yang termasuk bahannya, pemprosesan, pembungkusuan, penyimpanan dan pengedarannya mesti mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan Halal sebagaimana terkandung dalam Undang-undang Shariah.

“Keseluruhan rantaian proses pengeluaran dan aktivitinya mesti diperakukan sebagai mematuhi peraturan Halal. Jika produk makanan mengandungi bahan yang diimport, maka setiap satu bahan itu mesti diperiksa dan disahkan status Halalnya,” katanya dalam syarahan inaugural bertajuk “Halal Food Authenticity. Does it Matter to You?” di UPM, hari ini.

Terminologi untuk menggambarkan proses itu ialah ‘traceability’ (mampu kesan) katanya, sambi menambah kata bahawa ‘traceability’ boleh digunakan untuk mengesan status Halal produk sesuatu makanan itu di setiap peringkat rantaian pengeluarannya kerana ia mengandungi semua maklumat berkaitan proses yang telah dilalui oleh produk makanan Halal berkenaan.

“Dengan mempunyai ‘traceability system’, peringkat kritikal kawalan Halal boleh dipantau sepenuhnya dan jika produk itu disyaki tercemar dengan elemen tidak Halal, maklumat terperinci boleh diperoleh untuk mengenalpasti tempat ia berlaku dan seterusnya tindakan sewajarnya dapat diambil untuk memperbetulkannya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, ‘traceability system’ yang komprehensif dan yang boleh dipercayai dalam rantaian pembekalan makanan Halal akan meningkatkan ketelusan serta memperkukuhkan integriti Halal.

Pertumbuhan pasaran Halal dunia dijangka berkembang 5.8 peratus setahun sehingga 2020 manakala pasaran bagi barangan halal yang diperakukan dijangka tumbuh 26 peratus.

Dalam syarahannya itu, Prof. Dr. Shuhaimi membincangkan mengenai pendekatan saintifik yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu ke arah meningkat dan  memperincikan ketulenan makanan Halal dalam memudahkan pihak yang berkaitan membuat keputusan berhubung status Halal makanan dan produk makanan sebelum mengeluarkan sijil halal.

Turut hadir Dekan, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Prof. Dr. Arbakariya Ariff. - UPM

 

Kemaskini:: 30/11/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1532097419