Serdang Angels Kekalkan Kejuaraan Kejohanan Ragbi Super 8 IPT | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Serdang Angels kekalkan kejuaraan Kejohanan Ragbi Super 8 IPT

Serdang Angels kekalkan kejuaraan Kejohanan Ragbi Super 8 IPT

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 22 Nov- UPM (Universiti Putra Malaysia) Serdang Angels muncul juara Kejohanan Ragbi Super 8 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2015, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

Pada perlawanan akhir di Stadium UPM di sini, UPM Serdang Angels mudah menjinakkan MSP Hornets iaitu pasukan Majlis Sukan Politeknik Malaysia, 53-0.

UPM Serdang Angels memperagakan permainan kemas untuk mendahului 20-0 pada separuh masa, dan terus menggandakan asakan pada separuh masa kedua tanpa  memberi ruang kepada MSP Hornets untuk melancarkan gerakan.



Pada kejohanan sulung tahun lalu, UPM Angels menewaskan IIUM Mustangs dari  Universiti Islam Antarabangsa pada perlawanan akhir.

Jurulatiah UPM Serdang Angels, Khairizal Ali Amat berkata persefahaman mantap antara pemain senior dan baharu ketika menyerang dan bertahan menyumbang kepada kemenangan itu.

“Tahap permainan menunjukkan peningkatan ketara berbanding ketika mencatat kemenangan 34-17 pada peringkat kumpulan bertemu MSP Hornets,” katanya.

Dengan kemenangan itu, UPM Serdang Angels menerima piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM5,000 dan medal.

MSP Hornets pula membawa pulang RM3,000 serta medal, manakala UiTM Lions yang menduduki tempat ketiga mendapat  RM1,500 serta medal dan UTM Bronco di tempat keempat menerima piala iringan.



UPM Serdang Angels juga membolot hadiah pemain-pemain terbaik apabila Mohamad Nazreen Fitri Nasrudin dipilih pemain ‘backs’ terbaik, Muhamad Tajul Ariff Kadir pemain ‘forwards’ terbaik, dan Mohamad Syarif Saiful Azwan Sudin sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Ketua Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Tony Azman Hassan turut menyaksikan perlawanan akhir dan kemudian menyampaikan hadiah.


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563457158