Seramai 3,428 Pelajar Baharu Daftar Di UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Seramai 3,428 pelajar baharu daftar di UPM

Seramai 3,428 pelajar baharu daftar di UPM

 

SERDANG – Seramai 3,428 pelajar baharu program Bacelor mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2017/2018 di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 6 September.

Jumlah pelajar baharu itu meningkat seramai 232 orang atau 6.8%  terdiri daripada 1,048 pelajar lelaki dan 2,380 pelajar wanita. (Data berdasarkan calon terima tawaran setakat 6 September 2017).

Pada tahun lalu seramai 3,196 pelajar telah mendaftar di UPM (959 pelajar lelaki dan 2,237 pelajar wanita.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata pelajar baharu UPM akan mendaftar dalam 74 program yang ditawarkan daripada 16 fakulti.

“Seramai 272 pelajar antarabangsa yang turut mendaftar bagi program bacelor.  Jumlah pelajar antarabangsa tersebut meningkat iaitu seramai 72 orang berbanding 200 pelajar pada tahun lalu,” katanya pada sidang media Minggu Perkasa Putra Sesi 2017/2018 UPM di sini.

Selain pendaftaran di UPM kampus Serdang, seramai 50 pelajar yang telah mendaftar di kampus UPM Bintulu, Sarawak. Jumlah ini meningkat tiga orang berbanding 47 pada tahun lalu.

Turut mendaftar ialah dua atlet yang memenangi pingat emas dalam Sukan Sea 2017 iaitu pemain bola jaring wanita, An Najwa Azizan dan seorang atlit memanah Nor Aliya Ghapar, masing-masing mengambil jurusan Bacelor Komunikasi. Selain itu, atlet taekwando yang memenangi pingat emas di Asian Cities Cup 2014, Nur Fasha Qistina Shaharuddin turut mendaftar jurusan Bacelor Pembangunan Sumber Manusia.

UPM juga menerima kemasukan 70 pelajar melalui Kemasukan Laluan Khas B40. Laluan Khas ini ditawarkan kepada pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga berpendapatan rendah iaitu kurang daripada RM1,500 sebulan dengan mempunyai kelayakan minimum.

Selain itu, seramai tujuh orang kelainan upaya (OKU) turut mendaftar dan menginap di kolej kediaman yang mesra OKU.

Pelajar-pelajar baharu berkenaan akan terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik yang akan dilaksanakan melalui program Minggu Perkasa Putra Sesi 2017/2018 UPM, antaranya ialah Majlis Bersama Menteri Mentor pada  7 September 2017 (Khamis), jam 8.30 malam dan Majlis Ikrar Pelajar Bersama Naib Canselor UPM pada 12 September 2017 (Jumaat), jam 8.00 malam.

 

Nota : Jumlah ini tidak statik dan akan bertambah selepas kes rayuan.

Kemaskini:: 14/09/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506034841