Seramai 1,035 Pelatih Kor SUKSIS UA Terima Watikah Pelantikan Inspektor | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Seramai 1,035 pelatih Kor SUKSIS UA terima watikah pelantikan inspektor

Seramai 1,035 pelatih Kor SUKSIS UA terima watikah pelantikan inspektor

Oleh Syifarida Zaki
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 21 Ogos – Seramai 1,035 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) universiti awam (UA) menempa detik bersejarah apabila menerima sijil watikah pelantikan inspektor Kor SUKSIS pada istiadat penuh gemilang di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

UPM sebagai tuan rumah turut mempunyai 54 pelatih Kor SUKSIS UPM yang berjaya menerima watikah itu.

Ia disampaikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Kor SUKSIS UA kali KE-12 tahun 2016 di Padang Kawad, UPM.



Turut hadir ialah Ketua Polis Selangor, Dato’ Abdul Samah Haji Mat, Komandan Kor SUKSIS UPM, ACP/KS Prof. Dato’ Dr. Mohamad Shatar Sabran dan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Tan Sri Noor Rashid memeriksa perbarisan yang diketuai Pegawai Pemerintah Baris, KS Wan Muhamad Faizal dari Universiti Islam Antarabangsa dan menerima tabik hormat daripada pelatih Kor SUKSIS yang membabitkan 19 UA seluruh negara serta menyampaikan hadiah kepada pelatih terbaik setiap UA.

Pelajar Tahun 3, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, KS Ain Farihah Zulkifli dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan UPM.

Sementara itu, bacaan Ikrar Taat Setia dipimpin oleh Pegawai Kehormat Kor SUKSIS UPM, SUPT/KS Dr. Abdul Razak Abdul Raman.

Istiadat pengurniaan watikah pelantikan inspektor Kor SUKSIS serta penyampaian Hadiah Pelatih Akademik Terbaik dan Pelatih Latihan Luar Terbaik pula diadakan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam teks ucapannya yang dibacakan Tan Sri Noor Rashid merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan pelatih dan berharap illmu, kemahiran dan pengalaman yang didapati dapat dimanfaatkan apabila mendepani kehidupan yang lebih mencabar di alam kerjaya.

“PDRM telah membuka peluang kerjaya kepada semua KOR SUKSIS yang bakal memasuki alam pekerjaan kelak untuk terus memberikan sumbangan kepada pasukan, antaranya dengan menyertai Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) atau memohon jawatan sebagai Kadet Inspektor.

“Saya percaya, latihan dan pendedahan kepada pembentukan disiplin diri serta penguatkuasaan undang-undang yang diperolehi selama ini, menjadikan pelatih Kor SUKSIS ini adalah calon terbaik bagi menyertai PDRM,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelatih Kor SUKSIS supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana ancaman militan termasuk kumpulan Militan Negara Islam (IS).

“kumpulan militan ini menyasarkan golongan muda untuk direkrut sebagai anggota melalui media sosial seperti blog, Facebook, Youtube dan Twitter.

“Gunakanlah sebaik-baiknya ilmu yang diperolehi serta pengalaman selok belok dunia penguatkuasaan dan undang-undang sebagai senjata utama dan benteng untuk menangkis anasir negetif seumpama ini,” katanya.



Prof. Datin Paduka Dr. Aini pula berharap agar Kor SUKSIS terus aktif dalam melahirkan graduan yang berkualiti bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga kemahiran insaniah.

Teori civilization membuktikan bahawa kehancuran sesebuah negara bukanlah disebabkan oleh masyarakat daripada negara luar, tetapi disebabkan oleh masyarakat daripada negara itu sendiri.

“Justeru, pelatih semua mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar untuk meneruskan kepimpinan negara,” katanya.

Kor SUKSIS merupakan sebuah badan kokurikulum polis bagi mahasiswa di universiti tempatan yang wajib menjalani latihan selama tiga tahun sebelum digelar Inspektor Sukarelawan Polis. Ia ditubuhkan hasil cetusan idea bekas perdana menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada  5 Ogos 1999.

UPM menubuhkan Kor SUKSIS pada 20 Jun 2005 untuk skuad 1/2005.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248024