Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Adakan Profesional Walkabout Ke UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal adakan Profesional Walkabout ke UPM

Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal adakan Profesional Walkabout ke UPM

SERDANG, 8 Okt  – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad  mengadakan Profesional Walkabout Siri 4 ke Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kunjungan itu disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Ir. Dr. Robiah Yunus, dan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.  

Dato’ Dr. Ahmad  disambut oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, serta pengurusan tertinggi UPM.

Dalam ucapan alu-aluannya, Prof. Dr. Mohd Roslan merakamkan penghargaan kepada Dato’ Dr. Ahmad atas kesudian meluangkan masa berkunjung ke UPM.

Beliau juga memberi penerangan dan maklumat ringkas mengenai universiti dan perkembangan terkini berkenaan aktiviti yang sedang dan akan dilaksanakan khususnya daripada segi kesediaan UPM menerima semula kemasukan pelajar.

UPM memfokuskan lima strategi utama - Memacu Pertanian Berteknologi Tinggi, Membangun Karektor Graduan UPM, Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan, Mendukung Kelestarian Institusi Mapan dan Menatang Pembudayaan Norma Baharu - bagi memperkukuhkan hasrat sebagai menara ilmu yang disegani.

Transformasi pertanian di UPM melibatkan penggunaan teknologi terkini sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. Ia membabitkan penggunaan dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim, dan amalan agronomik mapan.

Selain itu, UPM diberikan mandat oleh KPT untuk membangunkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar bagi memenuhi hasrat menghasilkan graduan yang bakal menerajui sektor pertanian pintar negara.

Dato’ Dr. Ahmad Masrizal amat berpuas hati dengan usaha UPM menyahut hasrat kerajaan di dalam mendukung agenda pendigitalan melalui beberapa inisiatif dan strategi pelaksanaan kampus pintar bagi tempoh 2021-2025 meliputi Digital Learning, Smart Manage,Secure Campus dan IoT Application. Semua inisiaitif kampus pintar itu akan dijenamakan dengan nama Smart PUTRA®.

Beliau memuji langkah proaktif UPM itu kerana menurutnya, setiap universiti harus berusaha mendepani cabaran semasa dan lingkungan yang melanda negara pada masa ini melalui intervensi program atau kursus yang boleh ditawarkan kepada pelajar.

Program atau kursus yang ditawarkan adalah antara faktor penting kepada kebolehpasaran graduan. Justeru, universiti harus bijak memastikan program yang ditawarkan selari dengan kehendak pasaran.

Menurut kajian KPT ke atas seramai 305,301 ribu orang graduan (warganegara) tahun 2020, bagi Universiti Awam peratusannya ialah 86.7%, IPTS 79.4%, politeknik 91.45% dan kolej komuniti 94.2% dengan purata keseluruhan kebolehpasaran graduan IPT tempatan adalah pada paras 84.4%. Ia menurun sedikit berbanding 2019 akibat pandemik COVID-19.

Antara bidang pengajian yang mempunyai kadar keboleh pasaran yang baik ialah kejuruteraan, pembuatan, pembinaan, sains, matematik, komputer, kesihatan, perniagaan, perundangan, sains sosial dan pendidikan. Ini sekaligus menunjukkan bahawa program yang ditawarkan oleh IPT tempatan adalah berdaya saing.

Beliau turut dimaklumkan berkaitan cabaran ketika menghadapi pandemik COVID-19 dan penerangan Inisiatif Putra Cakna oleh UPM dalam menyantuni warga universiti yang terkesan. Program yang diterajui bersama oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM itu bermatlamat meningkatkan kesejahteraan warga UPM dalam mendepani situasi mencabar itu secara komprehensif dan inklusif.

Sementara itu, Sambutan Jubli Emas UPM sempena 50 tahun penubuhannya (1971-2021) yang dilaksanakan sepanjang tahun 2021 bertujuan menghargai aspirasi kecemerlangan dan kejayaan semua pihak dalam pembangunan UPM.  - UPM

Tarikh Input: 18/10/2021 | Kemaskini: 18/10/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUMGNAg:13:59