Saintis Malaysia Dan UPM Menang Famelab International Tewaskan 25 Negara | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Saintis Malaysia dan UPM menang Famelab International tewaskan 25 negara

Saintis Malaysia dan UPM menang Famelab International tewaskan 25 negara

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



SERDANG -  Pensyarah dan saintis dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Abhimanyu Veerakumarasivam mengalahkan peserta daripada lebih 25 negara untuk memenangi pertandingan berprestij komunikasi sains, Famelab International Final 2016 di Cheltenham, United Kingdom pada Khamis lalu.

Beliau yang memenangi anugerah 'Best Science Communicator award’ anjuran The Times Cheltenham Science Festival, United Kingdom telah membuat persediaan awal sejak memenangi pertandingan sama peringkat kebangsaan pada April lalu.

"Saya berharap kejayaan ini akan menggalakkan lebih banyak saintis dan peminat sains untuk berkomunikasi mengenai sains dengan berkesan kepada umum.

 

“Ini akan meningkatkan penglibatan selain menimbulkan kesedaran umum yang juga boleh memberi kesan kepada polisi awam,” katanya yang bertugas di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

“Sesungguhnya saya percaya komunikasi sains yang lebih berkesan diperlukan sama seperti lebih banyak penemuan sains,” katanya, yang juga Pengerusi ahli sains muda di bawah Akademi Sains Malaysia.

Sejak Festival Times Cheltenham Science Festival pada 2005, FameLab muncul sebagai antara pertandingan komunikasi sains utama dunia.

Ia terbuka kepada ahli sains, ahli matematik dan jurutera di seluruh dunia dengan setiap peserta diberi tiga minit untuk menyampaikan konsep sains pilihan mereka.

Mereka dihakimi oleh pengkaji ulung, personaliti media dan pembuat polisi sains berdasarkan kandungan, kejelasan dan karisma persembahan mereka.

Setiap pemenang kebangsaan kemudiannya bertanding dengan lebih 25 peserta global pada Festival Times Cheltenham Science pada setiap Jun.

Pembentangan Dr. Abhimanyu memfokuskan bagaimana kanser boleh dielakkan dengan gaya hidup lebih baik menerusi komunikasi berkesan. 

Berkongsi kejayaannya, Dr Abhimanyu berkata terdapat keperluan untuk berkomunikasi dengan berkesan, terutamanya kepada penonton bukan saintifik, mengenai perkara itu.

"Komunikasi Sains adalah penting untuk memastikan bahawa kemajuan dalam sains diterjemahkan kepada peningkatan sebenar dalam kehidupan," katanya.

Tahun ini merupakan kali kedua Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang direka untuk membincangkan teknologi sains dan konsep kejuruteraan dalam tempoh tiga minit persembahan.

Famelab Malaysia telah dianjurkan bersama oleh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan British Council Malaysia.

Presiden MIGHT dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman berkata kemenangan Dr. Abhimanyu adalah satu pencapaian yang besar untuk negara.

"Kemenangan Dr. Abhi tepat pada masanya kerana negara amat memerlukan perhimpunan ramai untuk menerima dan memanfaatkan sains dan kesejahteraan masyarakat secara mudah dan menyeronokkan dengan menggunakan komunikasi berkesan," katanya.

Pengarah British Council Malaysia, Sarah Deverall berkata membuatkan sains jadi mudah dan menarik kepada penonton bukan saintifik melalui komunikasi yang baik kini semakin berkembang untuk penyelidik seluruh dunia.

"Walaupun hasilnya adalah benar-benar bermanfaat untuk Dr Abhi secara peribadi, ia juga adalah satu pencapaian yang sangat baik untuk Malaysia," katanya.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112485