Putra Space Dalam Senarai 50 Terbaik Pertandingan ‘Airbus Fly Your Ideas 2017' | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Putra Space dalam senarai 50 terbaik pertandingan ‘Airbus Fly Your Ideas 2017'

Putra Space dalam senarai 50 terbaik pertandingan ‘Airbus Fly Your Ideas 2017'

Oleh Azman Zakaria 
Foto oleh Noor Azreen Awang

  

SERDANG, 16 Feb - Pasukan ‘Putra Space’ dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melangkah ke pusingan kedua pertandingan ‘Airbus Fly Your Ideas 2017’ apabila disenarai dalam 50 pasukan terbaik (Top 50) daripada sejumlah 356 pasukan dari 89 negara yang menyertai pertandingan itu.

Bagi pertandingan ini, pasukan ‘Putra Space’mengetengahkan idea untuk meningkatkan kecekapan operasi syarikat penerbangan serta keselesaan penumpang pesawat penerbangan dengan mereka bentuk sistem automatik bagi penyimpanan bagasi kabin penumpang.

Melalui idea ini, penumpang hanya perlu meletakkan bagasi mereka pada satu stesen khas yang akan diwujudkan berhampiran pintu masuk pesawat. Sistem berkenaan kemudian akan menyimpan bagasi tersebut secara automatik ke ruang penyimpanan khas di dalam ruang kargo yang telah diubahsuai.

Penumpang akan diberikan tag khas yang mengandungi kod bar semasa proses daftar masuk di kaunter bagi urusan mendapatkan semula bagasi kabin mereka semasa proses keluar dari pesawat.

Menurut satu kajian, ruang kargo pada pesawat penumpang tidak pernah melebihi 40% kapasiti sejak beberapa tahun. Oleh itu, ruang kargo kosong berkenaan boleh digunakan bagi implementasi sistem automatik penyimpanan bagasi kabin yang dicadangkan itu. 

Pasukan ‘Putra Space’ dianggotai pelajar Bacelor Kejuruteraan (Aeroangkasa), Mohd Fazri Sedan dan Muhammad FaisHaikal Mohd Isa; graduan Bacelor Kejuruteraan (Aeroangkasa) yang kini melanjutkan pengajian Sarjana di National Cheng Kung University Taiwan, Tan Yi Han; dan pelajar Sarjana Sains (Kejuruteraan Aeroangkasa) Nur Hashafiqa Zainal. Pasukan ini diselia oleh pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan, Dr. Fairuz Izzuddin Romli.

Airbus’ Fly Your Ideas adalah pertandingan peringkat global yang diadakan dua tahun sekali oleh Airbus dengan kerjasama UNESCO, yang mencabar pelajar untuk melahirkan inovasi untuk masa depan penerbangan yang mapan.

Seramai 5,499 pelajar dari 89 negara yang membentuk 356 pasukan mendaftar menyertai edisi kelima Airbus’ Fly Your Ideas ini. Pusingan pertama bermula September 2016, dan hanya 50 pasukan dipilih untuk pusingan kedua yang bermula Januari lalu, sebelum lima pasukan dipilih untuk pusingan akhir Mei depan.


Mohd Fazri, yang juga ketua pasukan Putra Space berkata, konsep dan idea mereka adalah untuk memudah dan mempercepatkan penumpang menuju ke tempat duduk tanpa perlu membawa bagasi kabin serta tidak perlu berdiri di laluan bagi menyimpan bagasi di kompartmen simpanan barang di atas tempat duduk yang akan menghalang laluan penumpang lain.

Katanya, ia juga menyelesaikan kesukaran yang dihadapi penumpang yang mempunyai ketinggian rendah kerana melalui idea ini mereka tidak perlu menyimpan bagasi di kompartmen.

Sekiranya berlaku turbulens udara pula katanya, bagasi tidak akan menimpa penumpang kerana tiada bagasi besar yang diletakkan di dalam kompartmen atas tempat duduk penumpang.

“Kita mahukan penumpang berasa lebih selesa dan selamat, serta dapat menuju ke tempat duduk mereka dengan lebih cepat,” katanya ketika temu bual.

Dr. Fairuz pula berkata, apa yang dilakukan oleh pasukan Putra Space ini adalah kesinambungan daripada ‘capstone project’ yang diusulkan melalui kerja kursus dalam subjek Rekabentuk Kenderaan Aeroangkasa yang diajar beliau.

Menganggap idea tersebut sebagai menarik dan berpotensi, beliau mencadangkan agar ianya dikaji secara lebih mendalam dan dihantar untuk pertandingan itu.

“Pertandingan seperti ini memberi banyak kebaikan kepada pelajar kerana ia mendedahkan mereka kepada kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan daya kreativiti, selain memperkukuhkan kemahiran insaniah terutama dalam aspek kerjasama dalam kumpulan dan komunikasi. Tambahan pula tidak terdapat banyak pertandingan global berkaitan aeroangkasa dijalankan,” katanya.

Ini bukan kali pertama pasukan dari UPM berjaya melangkah ke pusingan kedua pertandingan Airbus’ Fly Your Ideasi. Pada 2013, pasukan di bawah seliaan Dr. Fairuz berjaya mara hingga ke peringkat akhir Top 5 yang diadakan di Paris, Perancis.

Begitupun, penyertaan kali ini agak unik dan memberi cabaran yang berbeza kerana pasukan ‘Putra Space’ terpaksa berdepan dengan sedikit kesukaran dalam perbincangan keranaTan Yi Han kini melanjutkan pelajaran di Taiwan.

Justeru mereka banyak menggunakan media sosial untuk berinteraksi dan berbincang dengan beliau secara atas talian.

“Ya, saya jauh dari ahli kumpulan yang lain dan sukar untuk berinteraksi. Jadi, kami gunakan media sosial untuk berkomunikasi. Meskipun jauh, saya akan lakukan yang terbaik untuk kumpulan,” katanya melalui sidang video ketika temu bual itu.

Pasukan ‘Putra Space’ turut berterima kasih kepada Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM serta Persatuan Aeroangkasa Malaysia (AEROS Malaysia) yang memberi sokongan serta bantuan dalam menjayakan penyertaan mereka ke pertandingan itu. – UPM

Kemaskini:: 15/03/2017 [idah]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511032246