| Universiti Putra Malaysia

Putra Mart sedia penuhi permintaan produk segar UPM menjelang Aidilfitri

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
Foto: Md Nasir Hussin 
 
 
SERDANG, 27 Mac – Menjanjikan produk segar dengan harga mampu milik menjadi sasaran utama kedai Putra Mart, Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) buat komuniti sekitar kampus ini.
 
Menurut Ketua Seksyen Pemasaran PPP, Muhammad Aiman Mohd Anuar berkata kedai tersebut menjadi pusat pengumpulan hasil segar dari ladang UPM termasuklah produk inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik UPM dan anak pokok.
 
Kini Putra Mart telah beroperasi di Astana Putra berhampiran Fakulti Pertanian (FP) UPM manakala pembelian anak pokok boleh dapatkan di sebelah Padang Golf UPM.
 
Mengulas berkenaan persediaan barangan segar menjelang musim perayaan Aidilfitri, pihaknya saban tahun akan mengadakan jualan secara besar-besaran di Putra Mart jalan Golf UPM pada 4 April 2024 bagi memenuhi keperluan hari raya buat pembeli.
 
Kebiasaannya, kesemua produk segar akan dikumpulkan di sini seperti daging lembu, ayam, itik, puyuh, hasil laut, buah-buahan serta sayuran segar dengan harga yang berpatutan dan mampu milik.
 
 
“Kami sedia untuk memenuhi permintaan produk segar UPM sebagai keperluan di hari raya dan kini penanaman sayur juga sudah bermula. Selain itu, setiap hari kami menawarkan produk segar khasnya sayur-sayuran dan buah-buahan dari ladang UPM yang baru dipetik.
 
"Bagi jualan riang raya 2024, kami telah membuka tempahan awal daging segar yang bermula pada hari ini melalui https://forms.gle/GowQR2b4eFgZetRL8 dengan harga RM38 satu kilogram (kg)," katanya.
 
Selain menjana pendapatan buat UPM, Putra Mart juga menjadi tempat untuk mempromosikan barangan dan hasil produk seluruh UPM sebagai usaha membolehkan penduduk setempat untuk mendapatkan produk universiti ini dengan lebih cepat dan segar.
 
Pihaknya turut menjadi pusat pengumpulan hasil ladang aktiviti pelajar yang bercucuk tanam di kolej masing-masing.
 
Sehingga ini Aiman berkata permintaan hasil keluaran UPM dalam keadaan yang baik kerana adat berniaga ada pasang surutnya namun beliau sentiasa memastikan jualan produk berlaku menerusi strategi pemasaran yang efektif.
 
Tambahnya, terdapat beberapa produk UPM yang dihantar di luar kawasan Serdang seperti cendawan, telur itik dan telur puyuh.
 
 
“Sebagai contoh, setiap minggu kita akan menghantar telur itik dan telur masin di kedai Itik Salai Masthar yang terletak di Kajang dan kepada pembeli tetap yang minta stok.
 
“Promosi produk-produk segar sentiasa dimuat naik di media sosial dan WhatsApp. Setakat ini baja dan tanah hitam memang selalu mendapat permintaan yang tinggi,” ujarnya.
 
Bagi memastikan produk sentiasa terjual, pihaknya turut melaksanakan jualan bergerak dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Khamis di sekitar kawasan kampus dan memudahlan warga UPM untuk membeli produk atau barangan basah secara segar. -UPM

WXFTXAY~