Program Tunas Usahawantani Bakar Semangat Pelajar Jadi Usahawan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program Tunas Usahawantani bakar semangat pelajar jadi usahawan

Program Tunas Usahawantani bakar semangat pelajar jadi usahawan

Oleh  Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 30 Mei (UPM) – Program Tunas Usahawantani 2013 bakar semangat 98 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menceburkan diri sebagai usahawan dalam bidang pertanian moden.

Azam baru pelajar itu tersemai selepas menjalani kursus Keusahawanan Pertanian dan Kursus Keusahawanan Perniagaantani selama empat bulan di bawah bimbingan pensyarah dalam bidang keusahawanan pertanian di ladang UPM.

Latihan tersebut berakhir dengan satu upacara penyampaian hadiah untuk pemenang dan pesta penjualan hasil titik peluh pelajar dalam Pertandingan Tunas Usahawantani 2013.



“Program ini memberi pengiktirafan kepada pelajar dan akan mempercepatkan proses melahirkan usahawan pertanian serta dapat melahirkan lebih ramai golongan tenaga kerja mahir dari generasi muda pada masa depan,” katanya pada majlis perasmian di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian UPM.

Selain itu menerusi latihan amalan ladang yang melibatkan pembelajaran dalam bidang pengurusan ladang, kawalan penyakit, amalan lepas tuai dan pemasaran secara langsung akan melatih pelajar mengendalikan projek perniagaan dengan lebih teratur dan menguntungkan.

Sementara itu, Kumpulan Kolam  5 menjuarai Pertandingan Usahawantani 2013 dengan meraih wang tunai RM500, piala pusingan, hamper dan sijil penyertaan selain memenangi kategori Ternakan Ikan Tilapia.



Juara Kategori Tanaman Fertigasi Rock Melon dimenangi Rumah Teduhan 4, kategori Ternakan Ayam Kampung dimenangi Reban 5 dan kategori Ladang Tanaman dimenangi Ladang Tanaman 2.

Ketua kumpulan Kolam 5, Muhammad Farhan Abdullah berkata projek yang dijalankan bersama lapan ahli kumpulan melalui pelbagai cabaran antaranya kematian anak ikan tilapia kerana faktor cuaca.

“Pada awalnya kami menyasarkan untuk menternak 1,200 ikan tilapia, tetapi kami  hanya berjaya menternak 700 ekor ikan tilapia sebelum menjual ikan tersebut di Pasar Tani MARDI dan di sekitar kawasan perumahan Serdang,” katanya.



Pertandingan yang bermula pada Februari 2013 selama 1 semester (4 bulan)  terdiri daripada pelajar yang mengambil Kursus Keusahawanan Pertanian dan Kursus Keusahawanan Perniagaantani dengan diselia oleh pensyarah keusahawanan pertanian, pakar rujuk (pensyarah bidang berkaitan) dan pegawai sokongan teknikal dalam bidang keusahawanan pertanian dan perniagaantani. – UPM

- nej/kgo/kamn


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563469775