Program SPARTAR Santuni Anak Yatim, Kanak-kanak Asnaf | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program SPARTAR santuni anak yatim, kanak-kanak asnaf

Program SPARTAR santuni anak yatim, kanak-kanak asnaf


SERDANG – Buat julung kalinya Kolej 14 dan Kolej 16, Universiti Putra Malaysia (UPM) bergabung menjayakan Sparkle Star Outreach Programme (SPARTAR), bertujuan  menyantuni kanak-kanak dari kelompok anak yatim dan asnaf.

Program itu melibatkan rumah penjagaan kanak-kanak Rumah Qaseh Ibu, Hulu Klang; Rumah Penjagaan As-Samad, Wangsa Melawati; dan Rumah Asnaf Al-Barakah, Hulu Klang.

Program SPARTAR dijalankan secara bersiri iaitu Siri 1: Academic Outreach berupa program intensif pelajaran di rumah penjagaan pada 20 Oktober, 10 dan 17 November 2018, dan Siri 2: Spartar Camp iaitu perkhemahan kanak-kanak di UPM pada 7 hingga 9 Disember.

Objektif utama program adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak mendapatkan serba sedikit bantuan dalam pelajaran daripada pelajar universiti di samping menyuntik semangat dalam diri kanak-kanak untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak melihat suasana kehidupan di universiti dan menjalankan aktiviti bersama pelajar-pelajar di universiti. Program ini secara tidak langsung turut memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar untuk terus berbakti dan menyumbang kepada masyarakat.

Pengarah program, Nurul Izzah Ilyana Mohamad Suari bersyukur atas kesediaan ketiga-tiga buah rumah penjagaan kanak-kanak itu serta kedua-dua buah kolej untuk terlibat dalam program berkenaan.  

“Program ini memberi peluang kepada pelajar universiti untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, manakala kanak-kanak itu pula gembira dengan perkenalan dan interaksi bersama pelajar universiti,” katanya.

Fasilitator program Muhammad Faiz Abdul Manab berkata, SPARTAR bukan sahaja mensasarkan kepada pemupukan nilai positif dalam diri kanak-kanak tetapi juga kepada fasilitator dan ahli jawatankuasa.

“SPARTAR memberi peluang kepada saya dan fasilitator lain untuk mengenal potensi diri dan tahap kesabaran dalam melayan adik-adik dari rumah anak-anak yatim dan asnaf,” katanya.

 

Pada Siri 1 program itu, dua subjek teras iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik dipilih sebagai subjek untuk diajar kenapa kanak-kanak. Sesi pengajaran dijalankan secara berfokus dengan modul dan alat bantu mengajar disediakan mengikut tahap umur kanak-kanak.

Untuk setiap kelas, tenaga pengajar terlebih dahulu menjalani Training of Trainer (TOT) untuk memastikan tenaga pengajar bersedia untuk sesi pengajaran. Sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam kelompok kecil bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran serta memudahkan pengawalan kanak-kanak.

 

Pada Siri 2 pula, kanak-kanak dibawa berkhemah dan beraktiviti di UPM. Mereka dibawa menjelajah ke kawasan kampus utama UPM antaranya ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah. Aktiviti lain seperti Slot Ekspresi Diri dan Eksplorasi Bumi Hijau turut dijalankan sepanjang tiga hari dua malam program dijalankan.

Kemuncak SPARTAR Camp ialah majlis makan malam bersama alumni atau SPARTAR Dinner yang bertujuan meraikan kanak-kanak itu di samping mengalu-alukan keterlibatan dan penajaan daripada alumni. Persembahan hasil kreativiti kanak-kanak seperti tarian muzikal, lakonan dan boria turut dipertontonkan.

Pelajar Bacelor Sains Akuakultur, Muhammad Faiz Mohd Salehudin yang juga Kem Komandan berkata,  program itu memberi penekanan mengenai kepentingan ilmu dalam kehidupan, selain ia menunjukkan bahawa masih ramai yang peduli dan sayang pada golongan kanak-kanak seperti itu  - UPM

Tarikh Input: 11/01/2019 | Kemaskini: 29/01/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563455793