| Universiti Putra Malaysia

Program SME@UPM beri peluang IKS tingkat prestasi

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG – Program SME@UPM memberi peluang kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mendapatkan pembelajaran berstruktur untuk membolehkan mereka meningkatkan prestasi perniagaan yang mampan.

 

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azali Mohamed berkata program itu secara langsung memberi ilmu baharu kepada peserta serta menambahkan jaringan hubungan perniagaan pemilik syarikat.

 

“Sebanyak sembilan modul disampaikan kepada peserta bagi meningkatkan kefahaman mengenai apa yang diperlukan untuk menjadi sebuah perusahaan nasional, serantau dan global,” katanya.

 

Beliau berkata, program kerjasama antara UPM dan SME Corporation Malaysia (SMECorp) dijalankan di FEP itu dan disokong oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

 

“Kerjasama ini diharap akan diteruskan bagi membantu pemilik IKS dalam membangunkan dan memupuk budaya positif dalam syarikat,” katanya.

 

Penyelaras program, Prof. Madya Dr. Azmawati Abd Rahman berkata program 2017 itu disertai oleh 22 Pengarah Urusan syarikat berprestasi daripada pelbagai sektor antaranya  pembinaan, minuman dan makanan, pertanian, peruncitan dan pengilangan.

 

“Selain pembelajaran dalam kelas peserta berpeluang untuk mengadakan program lawatan industri ke Jepun yang berkaitan industri automobil, servis, teknologi hijau, syarikat perkhidmatan dan pengilangan,” katanya.

 

Antara syarikat yang menyertai program sesi kali ini ialah Sate Kajang Hj. Samuri Processing Sdn. Bhd, Polymart Packaging Sdn. Bhd, Bangsar Corner Sdn. Bhd, Krizik (M) Sdn. Bhd, SR Snacks Sdn Bhd, Hijrah Aluminium Sdn Bhd, Science Stroke Sdn Bhd,  Skyscaper Airhydro Industries Sdn Bhd, MM Matrix Integrity (M) Sdn Bhd, MG Prestige Group Sdn Bhd, Ksutama1 Stores Sdn Bhd, Pitaberry Sdn Bhd, Ply Tec Formwork System Industries Sdn Bhd, GSE-M Technology Sdn Bhd, Synergy Distribution Centre,  VG Metal Technology (M) Sdn Bhd, JYT Marketing Sdn Bhd, Sainuka Habib Sdn Bhd,  Vast Esteem Sdn Bhd, Fulle Technik Sdn Bhd, SL Virtue dan Cetusan Abadi Sdn Bhd. - UPM

 

WXEaMAk~