Program ‘Science For Youth’ Semai Minat Pelajar Di Bidang Sains | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program ‘Science For Youth’ semai minat pelajar di bidang sains

Program ‘Science For Youth’ semai minat pelajar di bidang sains

Oleh: Nur Syafiqa Hanum Mohamed Yosri

 

JITRA - Kursus Bakti Siswa, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan program Science For Youth 2017 bagi menyemai minat pelajar sekolah terhadap bidang sains melalui pendedahan mengenai teori sains serta aplikasinya dalam kehidupan seharian.

Program di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra, Kedah itu dilaksanakan pelajar Kursus Bakti Siswa kumpulan 55 terdiri daripada 33 orang mahasiswa Bacelor Sains (Kepujian) Major Kimia yang berperanan sebagai penggerak dan fasilitator program.

Program yang disertai 120 orang pelajar Tingkatan 1 SMSAH itu dikendalikan di bawah seliaan Dr Norizah Abd Rahman, dengan kerjasama Fakulti Sains UPM dan Alumni SMSAH.

Demonstrasi sains berkaitan dengan topik sains tulen Tingkatan 4 juga dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar menjalankan eksperimen ringkas supaya mereka dapat melakukan praktikal dan tidak hanya belajar berdasarkan teori sahaja.

 

Melalui program itu mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti etika moral, kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, keusahawanan dan kerja berpasukan, manakala fasilitator memperoleh pengalaman berkhidmat untuk masyarakat luar

Dr Norizah berkata, minat terhadap sains dan matematik harus  ditingkatkan dalam diri pelajar dalam menempuhi zaman moden berteknologi tinggi.

Pelajar dari SMSAH, Mohd Zulhilmi Azhar berkata, beliau gembira kerana terpilih sebagai peserta program kerana banyak ilmu baru yang diperoleh dari program itu.

“Jika dahulu, saya sering menggunakan konsep hafalan semata-mata untuk semua subjek, akan tetapi sebenarnya terdapat pelbagai jenis konsep baharu seperti untuk mendarab matematik dengan cepat, menyelesaikan masalah sains dengan menganalisis segala kemungkinan yang berlaku dan sebagainya,” katanya.

Fasilitator program Nur Syahirah Razali bersyukur kerana melalui program itu, beliau dapat membimbing pelajar sekolah berkaitan ilmu sains, dan berkata  bahawa adalah penting untuk pelajar mengetahui dan menguasai ilmu sains sejak dari Tingkatan Satu.

Seorang lagi fasilitator program Mohd Eizlan Shah Mohd Faizal pula berkata, melalui program itu, beliau dapat berkongsi ilmu serta membantu pelajar Tingkatan 1 dalam menyesuaikan diri di asrama dan sekolah kerana ia merupakan pengalaman pertama pelajar itu berjauhan dengan keluarga.

Guru Penolong Kanan 1 SMSAH, Mansor Abdul berkata, program seperti itu diharap dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana banyak impak positif yang diperoleh oleh pelajar dalam bidang pelajaran serta kehidupan.  - UPM

Kemaskini:: 23/05/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506247687