Program Musafir Hana Menyantuni Tetamu Di Masjid UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program Musafir Hana Menyantuni Tetamu di Masjid UPM

Program Musafir Hana Menyantuni Tetamu di Masjid UPM

Oleh Azman Zakaria


SERDANG, 30 Okt - Program Musafir Hana, program yang menjadikan Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai persinggahan sementara bagi pelajar dan keluarga dari perantauan untuk berehat dan tidur semalam, berjaya mengeratkan lagi hubungan antara pelajar, keluarga pelajar dan UPM.

Pengarah Pusat Islam UPM, Dr. Razali Othman berkata, pada masa yang sama,  program itu berjaya meningkatkan imej UPM di kalangan masyarakat luar.

Beliau berkata, program Musafir Hana dilancarkan sebagai “pusat sehenti” (one stop centre) dengan matlamat untuk membantu keluarga pelajar dan pelajar yang datang untuk mendaftar di UPM.

Katanya, program itu bertujuan menyediakan penginapan sementara kepada bakal pelajar dan keluarga pelajar yang tiada tempat tinggal ketika pelajar datang mendaftar.

Ia juga bertujuan memberikan maklumat pendaftaran pelajar baharu, menyediakan perkhidmatan kenderaan untuk mereka mendapatkan barang keperluan (makanan dan minuman), ke klinik ataupun untuk tujuan pendaftaran.

Program itu juga menyediakan makanan dan minuman secara percuma untuk bakal pelajar dan keluarga bermula sebaik mereka tiba di masjid sehingga waktu mereka pulang ke kampung halaman, serta membantu keluarga pelajar yang terputus wang ketika mahu pulang ke kampung halaman.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris yang meluangkan masa melihat kemeriahan program berkenaan, meminta Pusat Islam UPM meningkatkan lagi kemudahan dan perkhidmatan kepada tetamu yang datang ke masjid.

Katanya, program Musafir Hana Masjid UPM yang bermatlamat membina ihsan antara UPM dan tetamu yang datang, perlu diteruskan.

“Ihsan yang terbina pastinya akan membentuk ukhwah berpanjangan antara UPM, pelajar dan keluarga pelajar,” katanya.

Dr. Razali pula berkata, banyak telah dipelajari melalui program itu dan tentunya penambaikan akan dibuat pada tahun depan dengan matlamat yang sama iaitu membina ihsan, mengukuh ukhwah.

Sementara itu, Mariam Haron ibu kepada salah seorang keluarga pelajar melahirkan rasa terima kasih kepada pihak Masjid UPM atas program berkenaan.

“Makcik belum jumpa lagi mana-mana program macam ni. Dapat ruang rehat dan diberi makan dan minum tanpa bayaran, terima kasih UPM,” katanya.

Seorang bapa, Mat Long sambil berterima kasih kerana diberikan tempat penginapan di masjid berkata: “Pak Cik tiada tempat nak tinggal. Esok nak hantar anak mendaftar di Fakulti Kejuruteraan. Pak Cik hanya berdoa moga Allah SWT mudahkan kerja Pak Cik ni.”

Sehingga jam 1 pagi seramai tujuh keluarga pelajar telah menuju ke masjid UPM, dan mereka diberikan tempat tidur, makanan dan minuman secara percuma. Bilangan itu bertambah menjelang 5 pagi.  - UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300782