Program Mobiliti Reise De Java Timba Pengalaman Di Luar Negara | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program mobiliti Reise de Java timba pengalaman di luar negara

Program mobiliti Reise de Java timba pengalaman di luar negara

Oleh Nurfatilkha Aisha Mohd Zaher

 

MALANG (Indonesia) - Seramai 18 orang pelajar Jabatan Matematik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program mobiliti Reise de Java 2017 di Universitas Brawijaya, Malang, Indonesia baru-baru ini.

Pengarah program, Muhammad Zulsyahmi Ab Rahman berkata program itu bertujuan untuk membolehkan pelajar menimba pengalaman belajar di negara luar serta bertukar fikiran dan pendapat dengan pelajar di sana.

“Pertukaran pelajar memberi impak yang positif terhadap peserta kerana dapat belajar dalam suasana yang baharu. Hal ini dapat menjadikan minda peserta lebih terbuka,” katanya

Beliau berkata, program itu dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar UPM dengan pelajar daripada Universitas Brawijaya (UB) yang rata-ratanya mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza.

“Antara universiti yang dilawati ialah Universitas Islam Negeri Malang, Universitas Negeri Malang, Universitas Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang dan Universitas Muhammadiyah Malang,” katanya.

Sementara itu, para pelajar itu mengadakan perjumpaan bersama pelajar Malaysia di Universitas Brawijaya yang rata-ratanya adalah pelajar daripada Fakulti Kedoktoran. Semasa perjumpaan itu, pelbagai pengalaman menarik dikongsi bersama.

Pelajar Bacelor Sains (Kepujian) Major Matematik, Nur Sahira Faghira Tahrir Adli berkata, program itu mempunyai objektif tersendiri iaitu menginginkan pelajar lebih berkemahiran insaniah seiring dengan apa yang dihasratkan oleh universiti.

“Program ini meningkatkan skil komunikasi saya, manakala perbezaan suasana tidak menjadi penghalang untuk kami menerima sesuatu yang baharu kerana pengalaman yang diperolehi dapat dikongsikan bersama  rakan-rakan di UPM.

“Pelbagai pengalaman baharu ditimba sepanjang lawatan ke universiti-universiti itu kerana suasana dan persekitaran yang berbeza daripada UPM,” katanya.

Satu “sharing session” turut dijalankan untuk berkongsi rangka kerja, aktiviti serta program Kelab Mahasiswa Matematik dengan kelab matematik di sana.- UPM

 

Kemaskini:: 03/05/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511014176