| Universiti Putra Malaysia

Program Jalinan Kasih @Kampung Orang Asli terap minat tuntut ilmu

Oleh: Najihah Harun

 


 

HULU LANGAT –  Kelab Eleventh Volunteer, Sekretariat Sukarelawan Siswa Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kesebelas (K11)  sesi 2017/2018, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk julung kalinya  menganjurkan Program Jalinan Kasih @ Kampung Orang Asli, Hulu Langat Selangor bagi  menerapkan minat anak Orang Asli dalam menuntut  ilmu di samping mengeratkan hubungan pelajar dengan masyarakat desa.

 

Pengarah program, Siti Bassyirah Ibrahim, 23, berkata program itu yang membabitkan  46 orang mahasiswa K11 mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, mendapat sambutan baik daripada masyarakat Orang Asli.

 

Beliau berkata, pihaknya menjalankan aktiviti itu kerana menyedari ramai anak-anak Orang Asli tidak mempunyai sijil beranak sehingga menyebabkan ibu bapa mereka sukar menghantar anak-anak ke sekolah.

    

 

Pelajar Bacelor Kejuruteraan Pemprosesan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Suganthi Selvadurai, 22, berkata beliau meminati aktiviti kesukarelawanan dan   secara langsung juga melalui aktiviti itu beliau daapt membantu menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah ataupun institusi pengajian tinggi.

 

“Saya berasa bangga kerana sedikit sebanyak dapat membantu menaik taraf hidup masyarakat setempat dengan perkongsian ilmu bersama anak-anak Orang Asli,” katanya

 

Rakannya, Nur Afifah Ngasri, 21 berkata sebagai sukarelawan peranan pelajar universiti amat penting dalam membantu masyarakat luar bandar dalam aspek pendidikan.

 

Katanya, program itu bukan sahaja disertai oleh kanak-kanak malah turut dihadiri oleh golongan dewasa Orang Asli.

 

“Melihat gelagat anak-anak Orang Asli, mereka kebanyakannya berasa malu pada peringkat awalnya, tetapi akhirnya mudah berinteraksi dengan mereka setelah diberi pendekatan yang baik oleh sukarelawan,” katanya.

 

Turut diadakan ialah ceramah kebersihan, sukaneka serta gotong-royong membersihkan kawasan kampung bersama masyarakat setempat. - UPM

 

 

 

SXDdPAl~