Program Inkubasi Usahawantani UPM Latih 236 Peserta, 53 Syarikat Ditubuh | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program Inkubasi Usahawantani UPM latih 236 peserta, 53 syarikat ditubuh

Program Inkubasi Usahawantani UPM latih 236 peserta, 53 syarikat ditubuh

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang

Sahbani Saimin,Felo Perunding Kanan, Unit Inkubasi Usahawantani UPM


SERDANG, 8 Ogos – Program Inkubasi Usahawantani yang dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak 2012, sehingga kini sudah melatih 236 peserta manakala 53 syarikat yang beroperasi di seluruh negara berjaya ditubuhkan oleh peserta.

Felo Perunding Kanan, Unit Inkubasi Usahawantani UPM, Sahbani Saimin berkata nilai ‘turnover’ semua syarikat pula meningkat daripada RM300,000 pada 2013 kepada RM5 juta pada 2015, dan dijangka meningkat kepada RM7 juta pada akhir tahun ini.

Justeru katanya, Program Inkubasi Usahawantani bukan sahaja dapat melahirkan usahawan tetapi juga menyumbang kepada bekalan makanan negara bagi memenuhi permintaan.

Beliau berkata, program itu bertujun melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawan pertanian yang berkaitan bidang pertanian merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaantani. Ia pertama kali dianjurkan oleh UPM pada 2012 dan berterusan sehingga kini.

Lapan modul atau kursus ditawarkan iaitu tanaman rock melon secara fertigasi, akuakultur (ternakan ikan tilapia), ternakan ayam kampung kacukan, ternakan ruminan, bioteknologi (penghasilan biokompos), pengurusan perkhidmatan makanan, ekopelancongan, dan perdagangan (traders).

Program dilaksanakan selama enam bulan secara sepenuh masa dari Januari hingga Jun. Peserta terbuka kepada graduan yang berkelayakan minimum peringkat diploma sama ada bidang pertanian atau bukan pertanian dan berumur kurang daripada 30 tahun.

Pada dua bulan pertama, peserta diberi pendedahan dan pengetahuan mengenai bidang keusahawan berkaitan perundingan perniagaan berkesan, pembangunan pelan perniagaan, penulisan laporan perniagaan dan aspek motivasi serta jati diri.

Peserta juga akan diberikan maklumat berkaitan tatacara penubuhan syarikat, prosedur pinjaman daripada institusi kewangan serta peranan dan dasar kerajaan berkaitan pembangunan usahawan.

Bagi tempoh empat bulan berikutnya, peserta akan melaksanakan projek sebenar di lapangan mengikut modul masing-masing. Peserta dibahagikan kepada kumpulan dan diberikan pinjaman modal tanpa faedah sebanyak RM10,000 sebagai pendahuluan bagi memulakan projek.

Peserta akan dilatih menguruskan projek dengan kaedah pengurusan projek terkini bermula daripada peringkat pengeluaran sehingga pemasaran produk. Ia bagi meningkatkan pengetahuan pengurusan dan teknikal projek kepada peserta bagi memastikan penggunaan sumber yang optimum dan pulangan projek yang maksimum.. - UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511183910