Program Inkubasi Usahawantani Jaya Lahirkan Graduan Usahawan Tani | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program Inkubasi Usahawantani jaya lahirkan graduan usahawan tani

Program Inkubasi Usahawantani jaya lahirkan graduan usahawan tani

Oleh: Noor Aida Shaheera Zulkafli

 

SERDANG, 28 Jun – Program Inkubasi Usahawantani yang dilaksanakan sejak 2012 oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mencapai matlamat dalam melahirkan usahawan terutamanya di kalangan siswazah dalam bidang pertanian.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM,  Prof. M. Iqbal Saripan berkata, sehingga kini ia telah melahirkan 163  alumni program inkubasi yang berjaya menubuhkan 90 syarikat berteraskan keusahawanan pertanian ke arah membantu sektor pertanian negara.

 

“Pelaksanaan program yang dikendalikan Fakulti Pertanian UPM itu adalah selari dengan strategi pembangunan Usahawan UPM serta hasrat negara bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda bidang pertanian di kalangan siswazah,” katanya pada majlis penutup Program Inkubasi Usahawantani 2018 di sini.

 

Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Shukor Juraimi pula berkata program itu dijalankan selama enam bulan di kampus UPM dengan melatih bekas graduan dari seluruh negara menjadi usahawan cemerlang bidang pertanian.

 

Bagi tahun 2018, ia melibatkan 27 peserta dan sebanyak 10 buah syarikat berjaya ditubuhkan melibatkan 10 orang peserta.

 

“Kursus enam bulan ini merangkumi modul tanaman (fertigasi), akuakultur, ternakan ayam kampung kacukan dan ternakan ruminan yang merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaan tani,” katanya.

 

Ekoran kejayaannya, program itu kini diperluaskan di UPM Kampus Bintulu bermula Julai ini.

 

Peserta modul akuakultur program inkubasi, Mohd Ihsan Jailan, 25, berkata program itu memberikan pendedahan kepada beliau dalam bidang keusahawanan serta pengusahaan ternakan ikan air tawar.

 

“Saya merancang untuk menguruskan ladang berkonsepkan eko-pelancongan di Pangsun, Hulu Langat bersama rakan kongsi serta menjadikan ternakan ikan air tawar antaranya ikan kelah dan ikan talapia sebagai sumber ekonomi utama ladang tersebut,” katanya.

 

Peserta modul ternakan ayam kampung kacukan, Muhamad Qayyum Aznam Shah, 21,  berkata meminati bidang bidang pertanian dan gemar untuk bekerja sendiri mendorong beliau mengikuti program itu.

 

“Saya mengikuti modul terebut kerana ayam kampung mempunyai permintaan tinggi tetapi pengeluarannya masih lagi terhad. Saya bercadang mempertingkatkan lagi ilmu pengurusan ayam kampung pada masa akan datang,” katanya. - UPM

 

 

Tarikh Input: 05/07/2018 | Kemaskini: 05/07/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537846727