Program Free Market UPM 2.0 Beri Manfaat Kepada Warga Kampus Dan Masyarakat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program Free Market UPM 2.0 beri manfaat kepada warga kampus dan masyarakat

Program Free Market UPM 2.0 beri manfaat kepada warga kampus dan masyarakat


Oleh: Yasmin Yusoff
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 10 Mac – Program Free Market UPM 2.0 membawa manfaat besar dengan membolehkan warga kampus dan masyarakat luar memberi sumbangan khususnya barangan keperluan asas bagi membantu golongan yang memerlukan.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata program itu juga memberi peluang kepada pelajar membantu masyarakat dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan program berkenaan.

“Selain menderma barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan, program ini turut merapatkan hubungan antara masyarakat dan universiti dalam memupuk keprihatinan di kalangan komuniti,” katanya pada program bertemakan ”Beri atau Ambil Apa Sahaja!”  di sini.

Program itu dianjurkan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahduddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAS), Pejabat Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), FreeShop UPM, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC) serta Adi Karya Sdn Bhd dan Pertubuhan Sahabat Alam Maya.



Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Youth On Unity (Y.O.U) Dato’ Nazifuddin Najib; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM,  Prof. Dato’ Mohammad Shatar Sabran dan Pengetua KTDI, Dr. Abdul Razak Abdul Rahman.

Datuk Ahmad berkata penyumbang boleh memberi apa jua bentuk sumbangan atau tenaga mahir manakala penerima dibenarkan mengambil mana-mana barangan atau menerima perkhidmatan secara percuma.


Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata UPM turut mengambil inisiatif mewujudkan Free Shop yang menjadi platform untuk sesiapa sahaja menderma barang sama ada barangan terpakai atau pun baharu seperti pakaian, barangan dapur, keperluan bayi, buku, barangan elektrik sertaa alat permainan.

“Program ini diharap dapat membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Barangan yang disumbangkan oleh orang awam kepada program tersebut antaranya adalah pakaian, peralatan serta perhiasan rumah, buku, kasut, barangan elektronik, barangan dapur dan permainan kanak-kanak.

Free Market 2.0 juga turut menyajikan para pengunjung dengan persembahan amal, Food for Free serta mengadakan kempen derma darah..– UPM.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112319