Prof. Dr. M. Iqbal Dilantik Sebagai TNCAA UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Prof. Dr. M. Iqbal dilantik sebagai TNCAA UPM

Prof. Dr. M. Iqbal dilantik sebagai TNCAA UPM



Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM untuk tempoh selama tiga (3) tahun berkuatkuasa mulai 15 Februari 2017 hingga 14 Februari 2020.

Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, 37, menggantikan Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin yang tamat tempoh lantikannya pada 30 November 2016.

Beliau mempunyai kelulusan Ph.D in Digital Image Processing, University of Surrey, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik-Elektronik dari Universiti Teknologi Malaysia.

Anak kelahiran Muar, Johor ini telah berkhidmat di UPM lebih 15 tahun sejak 2001 dengan memulakan karier sebagai Tutor di Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi di Fakulti Kejuruteraan, Pensyarah pada 2006, dilantik sebagai Profesor Madya pada 2011 dan kemudiannya Profesor pada 2014.

Beliau sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2012.

Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Dekan (Pasca Siswazah), Fakulti Kejuruteraan, UPM pada tahun 2014 dan Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA), UPM pada 2015.

Antara penglibatan profesional yang diceburi ialah beliau dilantik sebagai IEEE GOLD di Institute of Electrical dan Electronics Engineers (IEEC) Malaysia pada tahun 2010-2011; Vice Chair untuk IEEE Consumer Electronics pada tahun 2009 hingga 2012 dan Vice Chair untuk IEEC Signal Processing in 2014 hingga kini. Beliau juga adalah Chartered Engineer di bawah Engineering Council UK sejak 2015 dan kini juga merupakan ahli panel penilai untuk Engineering Council UK.

Sepanjang perkhidmatan di UPM, beliau sememangnya aktif dalam pengajaran dan juga penyelidikan serta merupakan penerima Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2013, National Young Scientist Award dan The Young Outstanding Malaysian Award (TOYM), 2012.

Selain itu, beliau adalah pakar jaminan kualiti akademik untuk menilai program di Bangladesh yang merupakan sebahagian daripada projek Bank Dunia.

Di peringkat nasional beliau adalah penilai untuk Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan juga Engineering Accreditation Council (EAC). Beliau juga terlibat secara aktif di dalam MyQUEST, Polyrate dan My SPeKK.

Portfolio yang akan dipegang oleh beliau adalah mengetuai dan bertanggungjawab dalam keseluruhan pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta meningkatkan pembangunan polisi akademik, mempromosikan proses jaminan kualiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran dan bertanggungjawab ke atas perkembangan dan promosi hal ehwal antarabangsa.

Ahli pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Prof. Dr. M. Iqbal Saripan akan dapat mendukung matlamat universiti untuk mencapai matlamat strategik universiti yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk pengayaan pengalaman pelajar dalam menimba ilmu dan pembangunan profesional yang berterusan bagi kakitangan akademik universiti.

Pengalaman beliau yang luas dalam bidang jaminan kualiti akademik merupakan aset kepada pihak universiti di dalam memastikan bahawa UPM sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Beliau terlibat secara aktif di dalam konsep Outcome Based Education (OBE) dan terlibat secara aktif di dalam memastikan konsep OBE diguna pakai secara menyeluruh di UPM dan negara. - UPM

Kemaskini:: 13/03/2017 [idah]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511033039