Penyelidikan Genetik Berkembang Maju | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidikan genetik berkembang maju

Penyelidikan genetik berkembang maju

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh  Nor Azreen Awang

SERDANG, 21 Mac - Penyelidikan berkatain genetik semakin berkembang daripada pembiakan terpilih tradisional tumbuhan dan haiwan kepada kaedah moden genetik penjujukan DNA, manipulasi genetik dan terapi gen, kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.

Katanya, penyelidikan telah menghasilkan perkembangan teknologi dan akan terus meningkatkan lagi kemajuan disiplin itu, serta menyumbang ke arah kesejahteraan manusia.

Katanya, penggunaan terma genetik pertama kali direkodkan pada awal abad ke-20 meskipun pengetahuan mengenainya telah diketahui berabad lamanya.

“Sejak itu, kita telah berkembang maju daripada pembiakan terpilih tumbuhan dan haiwan kepada kaedah moden genetik penjujukan DNA, manipulasi genetik dan terapi gen, dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan Seminar 2017

Persatuan Genetik Malaysia (PGM), bertemakan “Towards Excellence in Genetics” yang diadakan sempena Mesyuarat Agung (AGM) PGM ke- 22, di sini hari ini.

Tiga penceramah – Felow Kanan dan Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh; Prof Dr. Fong Mun Yik dari Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM); dan Ketua Bioteknologi & Pembiakan, Penyelidikan dan Pembangunan, Sime Darby Plantation, Dr. David Ross Appleton – membentangkan idea dan hasil kajian bidang masing-masing.

Prof. Dato’ Dr Husaini berkata UPM berbesar hati menjadi tuan rumah majlis itu, di mana penceramah dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman berkaitan genetik.

“Kepakaran dan pengalaman yang dikongsi itu akan menjadi panduan, terutamanya oleh saintis muda. Anda (penceramah) juga memberikan perangkaian jaringan yang tidak ternilai untuk semua,” katanya.

Sementara itu Presiden PGM, Prof. Dr. Mohamad Osman berkata bidang genetik berkembang pantas dengan impak yang meluas terhadap hampir semua aspek kehidupan, dari pertanian kepada industri dan kepada perubatan, serta telah memberi banyak sumbangan bermakna kepada kesejahteraan manusia.

“Seminar ini adalah platform yang baik untuk mengetengahkan pelbagai topik ini. Saya berharap seminar ini akan memberi satu lagi peluang untuk ahli dan bukan ahli untuk mengikuti perkembangan terbaharu,” katanya.

Dua penerbitan baharu PGM - “A Practical Compendium 3 on Advances on Plant Breeding” dan “Transactions of PGM Number 4, Current Advances in Plant Breeding” - serta laman web PGM yang dikemaskini www.persatuangenetikmalaysia.com dilancarkan pada majlis itu oleh Prof. Dato’ Dr. Husaini. - UPM

Kemaskini:: 22/03/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300127