Penyelidik UPM Temui Pokok Gaharu Aquilaria Rostrata Yang Dianggap Pupus | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidik UPM temui pokok gaharu Aquilaria rostrata yang dianggap pupus

Penyelidik UPM temui pokok gaharu Aquilaria rostrata yang dianggap pupus


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 1 Mac: Spesies pokok hutan Aquilaria rostrata, yang selama ini dianggap pupus selepas kali terakhir ditemui kira-kira 100 tahun lalu, berjaya ditemui semula oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pokok dari genus Aquilaria dikenali sebagai pokok karas kebiasaannya dikaitkan dengan gaharu yang bernilai tinggi.

Spesies itu yang juga dipanggil Karas Gunung atau Chandan Gunung ditemui di kawasan hutan Gunung Tebu, Besut di Terengganu, kira-kira 100 kilometer dari kawasan ia pertama kali ditemui dahulu iaitu di Gunung Tahan, Pahang.

Kumpulan penyelidik UPM yang diketuai Pensyarah, Jabatan Pengurusan Hutan, Fakulti Perhutanan, Profesor  Madya Dr. Rozi Mohamed menemui populasi pokok itu semasa melakukan kajian di lapangan dengan bantuan anggota renjer dari Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu pada pertengahan tahun lalu.



“Pada awalnya kami menyangkakan ia spesies baharu tetapi setelah membuat perbandingan dengan spesimen berusia 100 tahun di Herbarium Botanic Gardens, Singapura kami mendapati ia adalah A.rostrata,” katanya dalam temu bual

Penemuan terbaru ini mematikan anggapan dan kebimbangan berkenaan spesies itu sudah pupus.

Selepas lebih 100 tahun daripada penemuan pertamanya, ia disenaraikan dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List dan dianggap sudah pupus.

Dr. Rozi berkata spesies itu ditemui di kawasan pokok-pokok balak yang sudah ditebang, di kawasan yang berketinggian kira-kira 700 meter dari aras laut.

Katanya,dianggarkan 50 pokok telah ditemui dalam populasi tersebut, yang berketinggian antara 2 hingga 5 meter dan berukuran lilit (dbh) antara 3 dan 4 sentimeter. Ketika ditemui, pokok itu sedang berbunga dan berbuah.

Menurutnya, spesies itu pertama kali ditemui pada 1911 di Kem Wray’s, Gunung Tahan oleh H.N.Ridley dan dilaporkan pada 1924, namun laporan berkenaan tidak menyatakan saiz pokok tersebut.

“Spesies ini adalah endemik… ia tidak terdapat di tempat lain, hanya di Semenanjung Malaysia sahaja dan terancam kepupusan,” kata Dr. Rozi.



Bagaimanapun, beliau berkata, aktiviti pembalakan secara mampan telah membuka laluan dan merintis jalan untuk kumpulan penyelidik UPM boleh sampai ke kawasan habitat spesies tersebut.

“Kami berjaya menemui semula populasi A.rostrata… penemuan terbaru ini memberi sinar dan harapan bahawa satu daripada sumber alam semulajadi negara ini tidak mengalami kepupusan,” katanya.

Justeru, katanya, kawasan berkenaan perlu dijaga dan spesies ini dipulihara agar dapat tumbuh dan membiak sebagai warisan alam serta mengelakkan daripada dicerobohi oleh pihak yang mahu mendapatkan gaharu.

Menurutnya, penyelidikan dijalankannya menggunakan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Kementerian Pendidikan Tinggi dan segala maklumat hasil penyelidikan dimasukkan ke dalam pangkalan data DNA yang dibangunkan khas untuk Aquilaria di Makmal Bioteknologi Hutan di Fakulti Perhutanan UPM.

Katanya, hasil penemuan itu telah dilaporkan dalam BLUMEA, sebuah jurnal reputasi tinggi dalam taksonomi tumbuhan terbitan Leiden University, Netherland.

Laporan itu boleh dilayari di laman web: http://www.ingentaconnect.com/content/nhn/blumea/pre-prints/content-nbc_blumea_0348



Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511014186