| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM cipta inovasi cara mudah saring penyakit batuk kering

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 28 Ogos 2020: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta dua inovasi –TB Strip dan TB Reader – bagi menyaring dan mengesan penyakit batuk kering atau tuberculosis (TB).

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Dr. Nor Azah Yusof berkata kedua-dua inovasi itu menggunakan kahak untuk menyaring dan mengesan bakteria TB di dalam tubuh seseorang.

Beliau berkata, saringan cara TB Strip dilakukan melalui kaedah ‘antigen test’ (ujian antigen) dengan menggunakan kahak individu berkenaan yang di letakkan di atas ‘sampel pad’.

Kahak kemudian akan bergerak ke arah ‘conjugate pad’ (pad konjugat) yang seterusnya menghasilkan dua garisan iaitu garisan bawah yang dipanggil ‘test line’ dan garisan di sebelah atas yang dipanggil ‘control line’.

Sekiranya pergerakan kesan daripada kahak itu berada pada ‘control line’ sahaja, individu berkenaan adalah negatif TB, manakala jika pada ‘test line’ dan ‘control line’ ia adalah positif.

“Keputusan sama ada seseorang itu negatif atau positif TB boleh diketahui dalam masa antara 10 dan 15 minit dengan menggunakan kaedah ini. Kos bagi satu kali pemeriksaan adalah kira-kira RM5,” katanya.

 

Prof. Dr. Nor Azah yang juga pensyarah di Fakulti Sains berkata, TB Strip adalah bagi tujuan penyaringan, dan seseorang boleh membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Katanya, kajian membangunkan TB Strip dimulakan lima tahun lalu, dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Krian, Kelantan dan Institut Perubatan Respiratori Kementerian Kesihatan.

Inovasi itu memenangi pingat emas pada International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2019.

 

Sementara itu, TB Reader pula adalah inovasi bagi mengesan bakteria TB menggunakan kaedah elektro kimia.

Prof. Dr. Nor Azah berkata inovasi itu akan mengesan sekiranya ada perubahan arus daripada sampel kahak yang diuji.

Katanya, kaedah TB Reader adalah lebih sensitif, dan kesimpulan sama ada seseorang itu positif atau negatif TB dibuat berdasarkan perubahan arus itu.

TB Reader boleh dihubungkan ke komputer riba atau telefon bimbit menggunakan teknologi Bluetooth. Keputusan pengesanan bakteria akan dipaparkan pada skrin telefon bimbit sama ada ‘yes’ atau ‘no’ tanpa perlu untuk melihat kepada perubahan arus.

Beliau berkata, inovasi itu menggunakan teknologi nano, dengan meletakkan bahan nano ke atas elektrod yang membuatkan ia lebih peka dalam mengesan bakteria.

Katanya, keputusan ujian pengesanan dapat diketahui dalam masa kira-kira satu setengah jam. Kos bagi satu ujian pengesanan adalah kira-kira RM20.

TB Reader mula dibangunkan lima tahun lalu dengan kerjasama USM Kubang Kerian dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), serta Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA) Penampang.

Turut bersama Prof Dr. Nor Azah dalam kumpulan penyelidik itu ialah penyelidik bersama Prof. Madya Dr. Siti Suraiya Md Noor dari USM Kubang Kerian dan Prof Madya Dr. Ammar Zakaria dari UniMAP, serta pelajar PhD UPM, Umi Zulaikha Mohd Azmi dan Muhammad Hafiznur Yunus.

Inovasi ini memenangi tempat ketiga pada Business Health Competition 2019.

Kedua-dua TB Strip dan TB Reader telah dipaten. Kajian kini berada di peringkat klinikal lanjutan. – UPM

WXEbHAK~