Pelantikan TNC (Penyelidikan Dan Inovasi) UPM Yang Baharu | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelantikan TNC (Penyelidikan dan Inovasi) UPM yang baharu

Pelantikan TNC (Penyelidikan dan Inovasi) UPM yang baharu

Oleh: Khairul Anuar Muhamad Noh

 

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan pelantikan Profesor Dr. Zulkifli Idrus sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM selama tiga tahun mulai 15 April 2018 hingga 14 April 2021.

Pelantikan beliau dibuat dalam surat yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 4 April 2018.     

Prof. Dr. Zulkifli Idrus menggantikan mantan sejawatan, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar yang dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018.

Prof. Zulkifli adalah seorang profesor di Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau memulakan pengajian Doktor Perubatan Veterinar di UPM pada tahun 1984 dan kemudian melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sains Poltri di Universiti yang sama pada tahun 1990. 

Beliau dilahirkan pada 7 April 1965 dan mendapat pendidikan di sekolah menengah La Salle Petaling Jaya. Beliau seterusnya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah daripada Virginia Polytechnic Institute and State University,  Amerika Syarikat pada tahun 1994 juga dalam bidang Sains Poltri. Zulkifli memulakan kerjaya sebagai Pensyarah di Jabatan Sains Haiwan, UPM pada tahun 1994 dan dinaikkan pangkat ke Profesor Madya pada tahun 1999 dan Profesor pada tahun 2004.

Prof. Zulkifli telah menumpukan kerjaya profesionalnya ke arah kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan bidang Sains Poltri dan Kebajikan Haiwan.  Beliau telah menerima pelbagai geran penyelidikan awam, antarabangsa dan industri berjumlah lebih daripada RM 15 juta.

Pada tahun 2012 - 2017, beliau menerajui program “Long Term Research Grant Scheme” (LRGS) bidang nic sekuriti makanan bertajuk “Enhancing the competitiveness and sustainability of the poultry industry through improved feedstock” yang bernilai RM11.68 juta yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sepanjang perkhidmatan di UPM, Prof. Zulkifli telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (2003 - 2005) dan Pengarah (2004 – 2010) di Pusat Pengurusan Penyelidikan, dan  Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) sejak 2010. Semasa kepimpinan beliau, ITAFoS telah diiktiraf sebagai sebuah “Higher Institution Centre of Excellence” (HICoE) dalam bidang nic “Tropical Agrifood” oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada 1 Januari 2017. Zulkifli juga ialah mantan Presiden “World Poultry Science Association” (cawangan Malaysia) (2012 -2017). - UPM

 

 

Tarikh Input: 19/04/2018 | Kemaskini: 19/04/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537657839