Pelajar Ternak Ikan Tilapia Di Kolej Kediaman | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar ternak ikan Tilapia di Kolej Kediaman

Pelajar ternak ikan Tilapia di Kolej Kediaman

SERDANG: KC AGRO sebuah Projek Pertanian Lestari yang diwujudkan oleh Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memulakan projek penternakan ikan tilapia merah di kawasan lapang di Kolej Canselor dengan mengamalkan konsep kelestarian alam sekitar, in-house training serta menggunakan barangan terpakai.

Ia membabitkan penglibatan warga kolej terdiri daripada Ahli Majlis Perwakilan Kolej, barisan felo, staf pengurusan dan pelajar Kolej Canselor.

Projek itu merupakan inisiatif warga Kolej Canselor dalam usaha memartabatkan bidang pertanian dan penternakan selain mendokong usaha universiti melestarikan kampus hijau dan menyahut seruan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Arifin Abdu dalam memperkasa Pelan Strategik H.E.P.A. 2021-2023 yang pertama iaitu Kelestarian Pertanian.

Sebuah jawatankuasa khas diwujudkan oleh Majlis Perwakilan Kolej Canselor (MPK) dan diletakkan di bawah portfolio Naib Presiden Hal Ehwal Warga dan Pertanian untuk memperkasa agenda kelestarian pertanian KC. Jawatankuasa itu dipantau oleh pihak pengurusan kolej bagi memastikan projek direalisasikan mengikut perancangan yang dijadualkan.

Tujuan utama program adalah untuk menerapkan nilai tambah, kemahiran dan pengetahuan  kepada pelajar Kolej Canselor khususnya dalam bidang pertanian seperti akuakultur, penanaman kaedah fetigasi dan hidroponik.

Projek penternakan ikan tilapia merah itu dilaksanakan bermula Januari 2021 dengan menggunakan tangki terpakai yang ada di kawasan kolej sebagai tangki utama penternakan.

Pada peringkat permulaan, hanya sebuah tangki digunakan untuk anak ikan tilapia merah. Setelah ikan semakin membesar, tiga buah tangki tambahan digunakan untuk ternakan.

Pelajar yang terlibat melalui proses pembelajaran in-house training yang sangat berguna apabila mereka didedahkan dengan ilmu penternakan ikan dari peringkat awal termasuk penyediaan kolam, penjagaan kualiti air, pemilihan benih ikan, proses pemakanan, penukaran air, pengkelasan saiz ikan, perakaunan dan menuai hasil serta memasarkannya. 

Jualan pertama ikan dibuat pada 3 Ogos lalu dengan hasil tangkapan 20 kg, dan pada 21 dan 22 Ogos dengan anggaran jumlah hasil 30 kg berdasarkan pra tempahan diterima setakat 20 Ogos.

Untuk memastikan projek pertanian dan penternakan itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan berjalan lancar, jadual kerja harian pelajar yang terlibat telah disediakan dan catatan penting akan diambil untuk rujukan mereka.

Pengetua Kolej Canselor, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah berkata selain memartabatkan agenda kelestarian pertanian yang termaktub dalam Pelan Strategik H.E.P.A. 2021-2023, pelaksanaan projek penternakan ikan itu pada asasnya bertujuan memberi pendedahan dan ilmu pertanian serta penternakan khususnya kepada pelajar Kolej Canselor serta menerapkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang diperolehi dalam bilik kuliah.

Beliau berharap ilmu yang diperoleh itu dapat digunakan sebaiknya apabila pelajar bergraduat kelak, seterusnya disebarkan kepada masyarakat.

Seorang pelajar yang terlibat dalam projek itu, Nor Idayu Suboh berkata, pengalaman sepanjang mengendalikan projek itu memberikan satu ilmu pengetahuan yang amat bermakna kepada dirinya melalui proses pembelajaran yang 100% berbeza daripada program pengajian formal yang diikuti di UPM..

“Ilmu yang diperolehi sepanjang proses penternakan ikan dan pertanian amat berguna. Saya yakin ia boleh memberi nilai tambah kepada saya apabila bekerjaya nanti,” katanya.

Beliau berkata, melalui penternakan ikan itu, warga Kolej Canselor umumnya dan pelajar yang terlibat khususnya dapat menimba ilmu dan pengetahuan dalam bidang akuakultur, selain dapat memupuk rasa tanggungjawab, disiplin diri dan  kerjasama berpasukan dalam menjayakan projek berkenaan. – UPM

Tarikh Input: 30/08/2021 | Kemaskini: 03/09/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKXTA:19:03