Pelajar, Pensyarah Fakulti Sains Bersihkan Pantai Morib | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar, pensyarah Fakulti Sains bersihkan pantai Morib

Pelajar, pensyarah Fakulti Sains bersihkan pantai Morib

Oleh Amirul Asyraf Noor Nasruddin

BANTING, 1 Dis - Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA) dengan kerjasama Kelab Mahasiswa Kimia (KMK), Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Chemical Catalysis Day 2019 di Pantai Morib, di sini.

Program itu bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan di kalangan pelajar dalam mengendalikan aktiviti serta menanam semangat perpaduan antara pelajar yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Program ini telah disertai oleh 200 ahli Kelab Mahasiswa Kimia dan sebagai bakal ahli kimia, KMK komited dalam mendekati komuniti bagi memastikan kawasan persekitaran yang bersih daripada sampah terutamanya sampah yang tidak terbiodegradasi yang boleh mencemarkan pantai dan laut.

Pantai Morib dipilih untuk program itu kerana pantai itu menjadi tumpuan pelancong.

Program itu yang pertama kali diadakan di kawasan pantai berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan warga Jabatan Kimia terutamanya mahasiswa dan pensyarah.

Ketua Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM, Prof Dr Zulkarnain Zainal berkata beliau berbangga kerana pelajar UPM mempunyai kesedaran terhadap kepentingan menjaga kelestarian pantai di negara ini yang semakin tercemar dengan sampah sarap serta mampu menganjurkan program yang berimpak tinggi seperti ini

“Selari dengan slogan UPM, “Berilmu, Berbakti”, Fakulti Sains komited bagi menghasilkan pelajar yang bermutu tinggi dari segi akademik tetapi tetap mantap dari segi sahsiahnya,” katanya.

Penasihat program, Dr Norizah Abdul Rahman berkata melalui pendekatan seperti itu, pelajar UPM dapat merapatkan ukhuwah bukan sahaja di antara pelajar, malah dengan pesyarah.

“Pelajar dilatih untuk menyumbang dan melibatkan diri dalam program yang berimpak tinggi. Pemilihan kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong ini merupakan pilihan bijak atas kesedaran kepentingan terhadap kebersihan pantai di negara kita,” katanya.

Aktiviti mengumpul sampah dan kitar semula iaitu Beach Plogging yang bertemakan Single Use Plastic Day dijalankan sebagai aktiviti perdana program Chemical Catalysis Day 2019.

Aktiviti itu melibatkan pelajar dan pensyarah Jabatan Kimia, UPM yang bekerjasama membersihkan kawasan Pantai Morib dengan mengumpul sampah sarap yang mencemarkan keindahan pantai.

Tema aktiviti yang diberikan untuk setiap kumpulan mahasiswa adalah bercirikan spesies binatang yang terancam seperti “Hawksbill Turtle, Black Rhinos, Grey Parrot dan Amur Leopard”.

Beach Plogging ini juga bertujuan untuk mengelakkan sampah daripada masuk ke dalam laut dan memberi impak kepada kehidupan laut.

Selain itu, melalui Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains, para pelajar bukan sahaja didedahkan tentang kepimpinan dan organisasi sahaja, malah mereka diberi pendedahan tentang komuniti di luar kampus.

Pengarah Program Chemical Catalysis Day 2019, Nur Syamimie Mohd Rozali yang juga pelajar Bacelor Sains Kimia Dengan Kepujian, Fakulti Sains, berkata melalui program itu beliau dapat mengamalkan sikap beretika serta menyemai rasa tanggungjawab kepada kelestarian alam sekitar.

“Saya turut berpeluang mendekati komuniti luar dengan lebih baik serta menyedari keperluan menyertai aktiviti bersama komuniti dan meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri saya,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 13/12/2019 | Kemaskini: 13/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKRMAl:12:43