Pelajar Kursus Bakti Siswa Anjur Tautan Celik Keusahawanan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar kursus Bakti Siswa anjur Tautan Celik Keusahawanan

Pelajar kursus Bakti Siswa anjur Tautan Celik Keusahawanan

Oleh Cantira Manun

 

PORT DICKSON, 23 Nov – Seramai 29 orang pelajar kursus Bakti Siswa (QKK2101) Kumpulan 6, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama penasihat program, Mohamad Taufik Rahmat buat julung kalinya mengadakan Program Tautan Celik Keusahawanan 2019 di Kampung Jawa Bukit Pelandok, di sini.

Program yang disempurnakan oleh ADUN Chuah, Yek Diew Ching itu merupakan program anak angkat yang berkonsepkan perkongsian ilmu berkaitan keusahawanan, pemasaran dalam teknologi, matematik, kesedaran alam sekitar, dan budaya pelbagai kaum.

Ketua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sawah Bukit Pelandok, Imran Worsono berkata, program itu boleh memberi pelbagai manfaat kepada penduduk kampung seperti pendedahan dalam bidang keusahawanan dan memberi pengalaman bermakna kepada pelajar.

Malah katanya, budaya dan tradisi etnik Jawa juga dapat diperkenalkan kepada masyarakat terutamanya di kalangan pelajar.

Bagi mencapai objektif utama program iaitu membuka minda masyarakat mengenai kaedah memanfaatkan sumber sedia ada bagi memulakan gaya hidup keusahawanan, taklimat keusahawanan dan perkongsian ilmu e-Dagang telah disampaikan oleh pensyarah kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Dr. Arnida Abdullah.

Antara aktiviti lain yang diadakan ialah pameran alam sekitar, pertandingan mewarna, free market, minda hebat matematik, sukaneka serta permainan untuk golongan kanak-kanak dan dewasa, serta Jaulah Keluarga Asnaf bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Kampung Jawa Bukit Pelandok dengan memberi sumbangan barang-barang keperluan seharian.

Melalui Malam Kepelbagaiaan Budaya, pelajar dapat mengenali budaya dan tradisi pelbagai kaum melalui tarian Sumazau, tarian Bollywood, persembahan nyanyian daripada pelajar antarabangsa yang berasal dari China serta pelbagai persembahan menarik yang disediakan oleh pelajar dan komuniti kampung.

Melalui aktiviti Rewang Mahabbah pula, pelajar dapat mengetahui tradisi etnik Jawa semasa majlis perkahwinan diadakan. - UPM

 

Tarikh Input: 13/12/2019 | Kemaskini: 13/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKXWA2:22:24